Kuartet wanita Sarawak mencipta sejarah pada SUKMA Selangor 2026 apabila meraih pingat emas acara 4x100 meter dalam perlumbaan penuh dramatik di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Lebih menarik, pelari terakhir Sarawak, Ormilla Octavia Codday Nyadau, pada awalnya menyangka mereka sekadar meraih pingat perak selepas melihat kuartet Terengganu meraikan kejayaan sebaik melintasi garisan penamat.
Namun, paparan pada papan keputusan elektronik mengubah segala-galanya apabila Sarawak muncul di kedudukan pertama dengan catatan 46.89 saat (s).
Kemenangan itu menghadiahkan emas pertama Sarawak dalam acara 4x100m wanita sejak SUKMA diperkenalkan pada 1986.
Ormilla berkata, mereka sudah menjangka Terengganu memenangi perlumbaan selepas melihat pelari lawan meraikan kejayaan.
Kuartet Sarawak yang turut dibarisi Danea Humairah Sharyman Sufry, Alvinia Aivie Jackly dan Syarifah Nur Alisya Syed Zafrina akhirnya meraikan detik bersejarah tersebut selepas keputusan rasmi diumumkan.
Terengganu terpaksa berpuas hati dengan perak selepas mencatat 46.94s menerusi Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, Nur Aina Syakira Mohd Rafizan, Nor Aliya Najihah Muda dan Jho Jun Lin.
Pingat gangsa pula menjadi milik Johor yang merekodkan 47.24s menerusi Nabilah Natasha Azizyan, Miesatul Shafieqa Sapi, S Varshini dan Mazurah Saffree.
Kejayaan dramatik itu bukan sahaja memberikan Sarawak emas, malah mencipta sejarah baharu buat kontinjen negeri berkenaan dalam acara 4x100m wanita di pentas SUKMA.