Thailand selangkah ke final Piala Hyundai ASEAN apabila menewaskan Singapura 3-1 dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Jalan Besar sebentar tadi.
Tuan rumah menguasai permainan sejak dari awal tetapi amat jarang dapat merencanakan serangan ke kubu pelawat dan keadaan itu mengundang padah buat mereka apabila Teerasak Poeiphimai bijak menghidu lorongan Seksan Ratree untuk melepaskan penyudah leret bagi menewaskan Izwan Mahbud pada minit ke-14.
Selepas jaringan itu, Singapura mula mempamerkan aksi goyah dan sekali lagi dihukum pada minit ke-26, juga dengan penyudah Teerasak tetapi kali ini menerusi tandukannya.
Enam minit selepas babak kedua bersambung, Thailand datang lagi menggegar jaring Singapura, di mana Seksan menolak mudah lintangan pemain gantian, Patrik Gustavsson.
Singapura, bagaimanapun, berhasil memperkecilkan jurang dengan jaringan Ilhan Fandi pada lewat permainan tetapi laluan mereka masih kelihatan sukar menjelang aksi timbal balik di Bangkok pada Selasa ini.