'Pintu masih belum tertutup!'
Meskipun tewas dua gol tanpa balas kepada Vietnam di aksi separuh akhir Piala Hyundai ASEAN 2026, skuad Tan Cheng Hoe masih lagi berpeluang untuk bangkit di Hanoi.
'Mereka tampil dengan karakter', itu apa diluahkan ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, mengenai prestasi barisan pemain muda yang diturunkan untuk mengisi kekosongan ditinggalkan pemain yang cedera dalam perlawanan penting seperti ini.
Dengan mengambil semangat saingan Piala AFF 2014 di mana Malaysia berjaya bangkit ke atas Vietnam, tidak mustahil untuk skrip sama ditulis meskipun anak didik Cheng Hoe dijangka tampil tanpa kelibat pertahanan kental Rodney Celvin akibat kecederaan.
“Kita masih mempunyai 90 minit lagi. Kita belum kalah dalam peperangan, cuma tewas dalam pertempuran pertama.
“Mungkin jika kita dapat menjaringkan satu gol, keyakinan pemain akan meningkat. Sudah tentu kita tahu Vietnam sangat kuat apabila bermain di laman sendiri. Saya yakin kita perlu ke sana dan berdepan cabaran itu,” kata Cheng Hoe dalam sidang media selepas perlawanan.
Sementara itu, tonggak tengah Harimau Malaya, Sergio Aguero, meletakkan harapan tinggi menjelang separuh akhir kedua, ini susulan disiplin tinggi ditonjol dia dan rakan sepasukan dalam mengekang perancangan Skuad Naga Emas.
Aguero menambah bahawa kesungguhan pemain muda yang berjaya melaksanakan tanggungjawab diberikan bakal menjadi kunci kepada kebangkitan Malaysia ketika bertandang di laman lawan.
"Kami berharap pasukan mampu melakukan yang terbaik di Vietnam, kami akan berjuang di sana nanti. Setiap individu dalam pasukan telah berusaha sebaik mungkin," kata Aguero.
"Betul, sukar untuk bangkit di sana tetapi pasukan akan mencari jalan untuk berjuang dalam perlawanan selepas ini."
Di kem Vietnam, ketua jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik, mengakui terkejut apabila Malaysia berjaya mematahkan pelannya sejak dari awal perlawanan lagi walaupun anak buahnya berjaya mencetak dua gol dan ia jadi indikasi penting untuk mereka tidak akan mengambil mudah dalam perlawanan timbal balik di Hanoi nanti.
"Pada awal saya akan kecewa tetapi jaringan Xuan Son akhirnya menggembirakan saya dan memastikan kemenangan pasukan," katanya.
Penyerang naturalisasi mereka, Nguyen Xuan Son, menganggap kemenangan 2-0 ini tidak mudah untuk dikecapi.
Permainan fizikal sejak dari awal dan juga padang rumput 'cowgrass' menyukarkan dia dan pasukan untuk bermain seperti biasa.
Kini misi beralih untuk kekalkan kelebihan dua gol di Hanoi sekali gus tempah slot ke final kali ketiga berturut-turut selain mempertahan gelaran juara.
"Perlawanan ini agak sukar, Malaysia menghadirkan ujian dari sudut fizikal kepada kami. Beraksi di laman sendiri kami tetap akan hadirkan corak permainan yang sama dengan perancangan yang bakal ditetapkan oleh jurulatih," ujar Xuan Son.