Iskandar Syah Rusdi mencuri tumpuan dalam Kejohanan Hoki Remaja MADANI peringkat kebangsaan 2026 di Bukit Jalil.
Pemain kelahiran Lahad Datu, Sabah itu mencuri perhatian bukan sahaja kerana statusnya sebagai penjaga gol kidal, malah keupayaannya menggunakan kedua-dua belah kaki secara dominan memberikan dirinya satu kelebihan penting.
Advertisement
Keupayaan itu menjadikan dia sebagai ‘sweeper keeper’ yang efektif, pantas membaca pergerakan lawan dan kawalan tenang ketika menerima tekanan.
"Sebenarnya saya tersilap sukan. Saya bermain bola sepak sejak bersekolah rendah.
"Disebabkan ajakan kawan, sekarang saya bermaim hoki bermula sekolah menengah.
"Pergerakan senang dan boleh menggunakan kedua-dua belah kaki, dan mudah untuk bergerak.
"Penjaga gol ini boleh dianggap sebagai kapten kedua dalam padang. Posisi paling belakang boleh nampak keseluruhan padang," katanya kepada wartawan Astro Arena, Husna Zainudin.
Dengan pengalaman pernah beraksi dalam Kejohanan Piala Gryphon di Australia, Iskandar berdiri sebagai benteng terakhir pasukan berjaya menamatkan saingan di tempat kedua daripada keseluruhan 20 pasukan yang bertanding.
Sementara di peringkat tempatan, Iskandar Syah terus menunjukkan konsistensi beraksi dalam saingan Piala Razak selama dua edisi berturut-turut dan tanggungjawab lebih besar menanti dirinya untuk mewakili kontinjen Sabah pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026.
"Kalau ada rezeki, saya mahu menyertai skuad Malaysia membawa ke peringkat tertinggi," tambahnya.