Kejayaan Johor Darul Ta'zim (JDT) melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) bukan sahaja melakar sejarah baharu, namun juga mengukuhkan reputasi kelab itu di pentas Asia, malah turut menghadiahkan ganjaran kewangan lumayan kepada Harimau Selatan.
Sebagai salah satu daripada lapan pasukan terbaik Asia musim ini, JDT dijangka meraih sekitar ASD1.8 juta (kira-kira RM8.5 juta) daripada keseluruhan ganjaran pertandingan setakat ini.
Advertisement
Perjalanan JDT dalam ACLE menyaksikan kelab itu mengumpul wang kemenangan daripada beberapa peringkat kejohanan.
1) ASD800,000 (RM3.7 juta) -- bayaran penyertaan peringkat liga
2) ASD200,000 (RM940,000) -- bonus mara ke pusingan 16
3) ASD400,000 (RM1.8 juta) -- ganjaran layak ke suku akhir
Selain itu, kemenangan dalam perlawanan peringkat liga turut memberikan bonus tambahan bagi setiap kemenangan, sekali gus menambah jumlah keseluruhan ganjaran yang diterima kelab tersebut.
Dengan tempat di suku akhir sudah dalam genggaman, skuad Harimau Selatan kini berpeluang menambah lagi ganjaran sekiranya berjaya mara lebih jauh dalam kejohanan kelab paling berprestij di Asia itu.
Jika berjaya melangkah ke separuh akhir atau final, jumlah wang kemenangan yang bakal diraih JDT dijangka meningkat dengan ketara, sekali gus menjadikan musim ini antara kempen paling menguntungkan buat kelab gergasi dari selatan tanah air tersebut.