Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) memerlukan sokongan kewangan melebihi RM200,000 bagi memastikan penyertaan enam atlet negara ke Deaflympics Musim Sejuk 2027 di Austria dapat direalisasikan.
Presidennya, Dr Ong Shin Ruenn berkata, Malaysia bakal mencatat sejarah apabila buat julung kalinya menghantar enam wakil menerusi sukan catur ke temasya yang berlangsung dari 15 hingga 24 Januari 2027 itu.
Bagaimanapun, impian membawa cabaran negara ke pentas antarabangsa berdepan kekangan apabila tabung persatuan bagi program catur ketika ini hanya berbaki kira-kira RM20,000.
Menurutnya, kos penyertaan yang tinggi merangkumi tiket penerbangan, penginapan, makanan dan minuman serta kelengkapan pakaian musim sejuk, selain dipengaruhi kadar pertukaran mata wang Euro.
“Kos keseluruhan agak tinggi kerana melibatkan tiket penerbangan, penginapan, makan minum serta kelengkapan baju sejuk memandangkan kadar tukaran mata wang Euro yang tinggi.
“Tabung sedia ada untuk sukan catur amat terhad iaitu sekitar RM20,000 sahaja.
“Oleh itu, kami amat berharap mana-mana individu mahupun syarikat korporat sudi tampil menghulurkan sumbangan demi kelancaran penyertaan atlet negara ke Austria,” katanya.
Enam atlet yang bakal membawa cabaran Malaysia ialah Leong Ee Hern, Loo Pin Xie, Ezwany Osman, Goh Sheng Wei, Yoshni Ramakrishnan dan Ainnur Asyikin Jupineh.
Mereka dijadualkan beraksi dalam empat acara, sekali gus membawa harapan untuk membuktikan kemampuan atlet pekak negara bersaing di pentas dunia.
Justeru, MSDeaf berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), sektor korporat serta individu tampil menghulurkan bantuan bagi menampung keperluan kewangan pasukan.
Bagi persatuan itu, isu pembiayaan bukan sekadar soal membawa atlet ke Austria, tetapi turut melibatkan peluang untuk membuka lembaran baharu dalam penyertaan Malaysia di Winter Deaflympics.
Dengan tempoh persiapan yang semakin menghampiri temasya, sokongan kewangan tepat pada masanya amat penting bagi memastikan enam atlet berkenaan tidak terlepas peluang mencipta sejarah buat negara.