Penyerang prolifik skuad hoki negara, Faizal Saari, mencipta memori teragung sekali dalam seumur hidup apabila menjaringkan gol berkelas dunia mirip jaringan ikonik Datuk Mirnawan Nawawi ketika menewaskan India 3-2 dalam kempen Piala Dunia 2002 di Kuala Lumpur.
Jaringan kedua peribadi Faizal ke atas Amerika Syarikat itu bakal dikenang untuk tempoh jangka masa yang lama — oleh kerana tahap kesukaran untuk menyempurnakannya.
Lebih manis lagi, jaringan itu turut disaksikan lagenda hoki negara, Mirnawan Nawawi secara langsung yang hadir di venue perlawanan.
Momen magis itu menjadi bukti dengan Faizal Saari selayaknya diangkat duduk sebaris lagenda dalam Dewan Kemahsyuran sukan hoki negara.
Kualiti dan kesempurnaan jaringan itu mirip gol ikonik Mirnawan Nawawi ketika berusia 24 tahun.
"Sedikit sebanyak mirip aksi dia, sangat berbangga lah selain dapat membantu pasukan menang. Pada 2002 saya di bangku sekolah, saya sudah minat sukan hoki.
"Terima kasih legenda, Mirnawan, saya nikmati momen ini. Saya ambil dia punya teknik untuk jaringkan gol, ia banyak membantu saya," kata Faizal.
Untuk rekod, Faizal telah meledak 310 gol sepanjang bersama skuad kebangsaan daripada 345 penampilan.
"Apabila saya lihat gol Faizal, ia mengimbau jaringan saya ketika Piala Dunia 2022 lawan pasukan India, saya masih ingat momen itu, hanya sentuh bola dan memerangkap penjaga gol India ketika ini.
"Saya tak sangka pula masih ramai orang ingat. Jadi, membuatkan saya sedikit emosi dan terharu." tambah Mirnawan.