Johor Darul Ta'zim (JDT) kini hanya selangkah untuk mengekalkan kejuaraan Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut, dominasi yang dilihat hampir mustahil dicabar.
Namun, ketika gelaran juara seakan pasti menjadi milik Harimau Selatan, ‘perang sebenar’ Liga Super kini berlaku dalam usaha mengejar perebutan di tangga kedua.
Advertisement
Siapa yang bakal bergelar naib juara Liga Super? Siapa yang bakal dapat tiket beraksi di Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2)?
Persaingan ini bukan lagi soal sekadar mata yang perlu diraih dalam baki saingan liga, tetapi lebih kepada soal mentaliti, konsistensi dan strategi yang perlu dirangka hingga perlawanan terakhir.
Dengan hanya enam perlawanan berbaki, Selangor dan Kuala Lumpur (KL) City terikat dengan 36 mata di tangga kedua dan ketiga.
Kuching City pula hanya ketinggalan dua mata, tetapi memiliki satu kelebihan dengan baki tujuh perlawanan berbanding enam milik dua pencabar lain.
Ketiga-tiga pasukan kini dalam perebutan sengit, di mana setiap perlawanan diibaratkan seolah-olah perlawanan akhir, dan setiap keputusan bakal menentukan pasukan mana berjaya raih tiket ke pentas Asia musim depan.
Selangor tampak paling beruntung dari segi jadual di mana empat daripada enam baki perlawanan berlangsung di laman sendiri, menentang Imigresen FC, Sabah, Penang dan PDRM.
Dengan dua lagi perlawanan di gelanggang lawan berdepan KL City dan Kelantan TRW akan menjadi ujian sebenar.
Bagi KL City, laluan mereka tampak lebih berliku. Selain perlu menentang pencabar terdekat Selangor dan Kuching City, skuad City Boys turut dijadual bertemu JDT, tiga perlawanan yang berpotensi menjadi ‘penentu musim’.
KL City akan beraksi tiga kali di laman sendiri menentang Melaka, Selangor dan Negeri Sembilan, serta tiga aksi di tempat lawan menentang JDT dan perlawanan terakhir berdepan Kuching City.
Namun, cabaran KL City dilihat bukan sekadar di atas padang.
Sekiranya berjaya menamatkan musim sebagai naib juara, mereka masih perlu menyelesaikan isu kewangan bagi mendapatkan lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Berdasarkan semakan di laman Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), KL City masih berada dalam senarai pasukan yang dikenakan sekatan perpindahan pemain, dipercayai berkait isu tunggakan gaji.
Kuching City pula muncul sebagai pencabar paling berbahaya dengan tujuh baki perlawanan akan memberi mereka peluang untuk menentukan nasib sendiri.
Dengan empat aksi di laman sendiri menentang Sabah, PDRM, Terengganu dan KL City, kesemua perlawanan ini boleh disifatkan sebagai peluang keemasan untuk mereka mengumpul mata maksimum.
Jika mereka dapat memanfaatkan sepenuhnya baki perlawanan yang ada, Kuching City mampu mencipta sejarah dan melangkah ke pentas Asia buat kali pertama.