Bekas perseorangan nombor satu dunia, Roslin Hashim, berdepan detik cemas apabila terpaksa menangguhkan kepulangannya ke Malaysia dari Mesir, meskipun sudah berada di dalam ruang menunggu pesawat.
Roslin kini bersama skuad badminton kebangsaan Mesir selepas dilantik selaku ketua jurulatih dan pengarah teknikal pada Disember 2025.
Advertisement
Menurutnya, situasi itu berlaku susulan faktor tidak dijangka yang memaksa penerbangannya ditangguhkan pada saat akhir.
Apa pun, Roslin bersyukur keadaan terkawal dan keselamatan penumpang terjamin.
"Pada mulanya, saya berasa sedih dan marah.
"Tapi fikirkan ia atas faktor keselamatan kami sendiri (jadi saya redha).
"Bukan penerbangan saya sahaja malah semuanya dibatalkan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Roslin turut berkongsi cabaran terbesar sepanjang membimbing pemain badminton Mesir, khususnya daripada segi kemudahan latihan dan pendedahan antarabangsa.
Jelasnya, perbezaan paling ketara berbanding sistem latihan di Malaysia adalah aspek struktur pembangunan, keamatan latihan serta sokongan sains sukan yang lebih menyeluruh.
"Di Malaysia, pemain akan berkumpul di pusat latihan.
"Tetapi di sini pemain tinggal di rumah masing-masing. Kebanyakan atlet di sini mewakili kelab masing-masing.
"Mereka ada jurulatih sendiri, mereka seolah-olah pemain profesional," katanya.