Teka-teki senarai akhir pasukan hoki kebangsaan menjelang kempen Piala Sultan Azlan Shah 2025 terjawab apabila ketua jurulatih, Sarjit Singh, mengambil pendekatan berani dengan mempertaruh dua tonggak baru yang bakal menerima kaps pertama.
Sarjit terpanggil untuk memberi peluang buat bakat muda susulan prestasi cemerlang yang ditonjolkan sepanjang aksi persahabatan menentang Korea Selatan serta India.
Advertisement
Sarjit Singh kekal dengan pendiriannya untuk sentiasa berada di belakang pemain yang mempunyai jiwa besar.
Dengan menamakan dua tonggak daripada Melaka, Nur Asyraf Ishak dan Zufar Saiful Marsita, yang beraksi cemerlang dalam saingan Piala Tun Abdul Razak 2025, realitinya Sarjit tidak mahu pemainnya dibebani tekanan menggunung.
Sebaliknya, dia melontarkan cabaran buat anak didiknya iaitu bermain dengan corak permainan yang mudah.
Amanat itu disuarakan Sarjit pasca kekalahan 1-2 kepada India dalam perlawanan pemanas badan yang berlangsung selama 30 minit, semalam.
The Speedy Tigers akan membuka kempen PSAS edisi ke-31 menentang New Zealand dengan rekod pertemuan lebih memihak kepada Black Sticks.
"Anda perlu berehat, dan anda juga perlu menumpukan fokus terhadap kejohanan, selain bersiap sedia sepenuhnya.
"Anda perlu membuat sesuatu perkara dengan betul di atas padang serta melakukan keputusan tepat.
"Komitmen pemain tidak perlu dipertikai.
"Kami sangat kuat di bahagian tengah, sambil pertahanan bertambah baik.
"Tinggal untuk memperkasa bab mengawal pihak lawan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis.