Skip to main content

Badminton

Piala Thomas: Koo Kien Keat tekankan kepentingan semangat berpasukan

badminton

Bekas beregu lelaki nombor satu dunia, Koo Kien Keat, tampil memberi pandangan mengenai prestasi pemain negara dalam Kejohanan Badminton Asia (BAC) sambil menganggap kekalahan Pearly Tan–M Thinaah serta Aaron Chia–Soh Wooi Yik dalam suku akhir bukan isu besar.

Sebaliknya, ia sebahagian daripada proses mengekalkan konsistensi di pentas tertinggi, selain memberi ruang untuk menilai kelemahan sebelum kejohanan lebih besar.

Advertisement

"Pemain akan temui kemuncak prestasi dalam kejohanan yang mereka bersedia. Saya rasa tiada gangguan sebab mereka sudah cukup berpengalaman.

"Saya rasa prestasi BAC tidak akan beri kesan kepada mereka dalam kejohanan seterusnya," kata pemenang empat pingat gangsa Piala Thomas itu.

Mengulas mengenai kejohanan yang akan membuka tirai di Denmark pada 24 April ini, Kien Keat menegaskan skuad terbaik perlu dibentuk berdasarkan semangat berpasukan, bukan individu semata-mata.

Malaysia juga dilihat berpeluang mencipta sejarah mara ke final selepas penantian 34 tahun, jika gandingan pemain mampu tampil sebagai satu unit yang agresif.

"Ini satu-satunya masanya mereka dapat berlatih bersama-sama sebagai sebuah pasukan. Mereka harus cari peluang untuk bersama-sama walaupun ketika sesi makan.

"Dulu hanya satu kumpulan (pemain) sahaja iaitu daripada BAM (Persatuan Badminton Malaysia). Kalau ada semangat berpasukan, jangankan separuh akhir malah final pun berkemungkinan.

"Dalam badminton, tiada had umur (minimum) untuk bersaing di peringkat senior.

"Selain Sukan Olimpik, Piala Thomas atau Piala Uber beri kebanggaan tersendiri sebagai pemain," katanya.

Dalam perkembangan sama, BAM turut dipuji atas langkah membawa naib juara remaja dunia 2025, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan ke Piala Uber.

Pendekatan berani ini dilihat sebagai pelaburan jangka panjang untuk masa depan badminton negara.
 

Must Watch Video