KUCHING CITY 1 SELANGOR 0
(Kuching mara dengan agregat 2-1)
Kuching city mengesahkan tiket ke perlawanan akhir Piala Malaysia dengan menumbangkan Selangor 1-0 dalam pertembungan kedua separuh akhir di Stadium Negeri Sarawak, sebentar tadi.
Advertisement
Jaringan pemain import yang berpengalaman luas dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M), Petrus Shitembi, menjadi titik tolak kemaraan Kuching City untuk menjadi wakil Borneo pertama sejak Sabah kali terahir melakukannya pada 2003.
Gergasi Merah bagaikan meratapi ketiadaan kelibat ketua jurulatih, Kim Pan-gon, dan penyerang import, Chrigor Moraes, yang digantung perlawanan yang menyaksikan mereka berdepan kesukaran untuk mengatur serangan yang lebih jitu.
Anak buah Aidil Sharin Sahak itu cukup bersedia untuk membuktikan kemampuan dari awal sepak mula lagi, malah tiang menjadi penyelamat gawang Selangor, sebelum kubu pelawat itu roboh jua oleh Shitembi pada minit ke-33 sambil pemain sensasi Selangor, Faisal Halim, dibayangi peluang satu lawan satu sebelum kedudukannya dikesan ofsaid.
Dan mimpi ngeri juara 33 kali itu berterusan setelah Safuwan Baharudin dilayangkan kad merah kerana menjatuhkan penyerang import Kuching City, Ronald Ngah Wanja, pada awal babak kedua.
Situasi bertambah pincang akibat terjahan Mukhairi Ajmal Mahadi ke atas Jimmy Raymond, namun itu tidak mematahkan mereka daripada memburu gol penyamaan malah meletakkan pertahanan tengah, Richmond Ankrah, sebagai penyerang bidan terjun bagi menggantikan Vitor Pernambuco yang bergelut dengan sentuhannya.
Atas segala formula yang cuba diketengahkan, Gergasi Merah tetap buntu tatkala Kuching City mempertahankan agregat 2-1 hingga wisel penamat, sekali gus ke final menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 23 Mei depan.