Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak, mengakui pasukannya sekadar tidak bernasib baik selepas dinafikan kemenangan pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Selangor FC.
Menurutnya, anak buahnya telah menunjukkan prestasi cemerlang dan berjaya menyesuaikan diri dengan keperluan permainan sepanjang aksi berlangsung di Stadium MBPJ.
Advertisement
Namun, jaringan penyamaan saat akhir oleh Selangor menyaksikan kemenangan yang hampir dalam genggaman terlepas begitu sahaja.
Aidil menegaskan bahawa Kuching City FC berjaya mengawal permainan dalam tempoh yang panjang, malah mendahului sehingga minit-minit akhir perlawanan.
Tekanan yang diberikan turut memaksa Selangor FC berhempas pulas untuk mencari gol penyamaan di laman sendiri.
Walaupun beraksi dengan kekangan bajet berbanding pasukan besar, Kuching City tetap berjaya memberikan tentangan sengit, malah aksi selama lebih 50 minit permainan dilihat sedikit sebanyak mencalar ego The Red Giants.
Prestasi ini menjadi bukti bahawa faktor kewangan bukan penghalang untuk bersaing di pentas tertinggi.
Perlawanan tersebut turut berlangsung dalam suasana tegang, termasuk insiden perbalahan kecil melibatkan barisan kejurulatihan.
Namun, Aidil Sharin memuji pemainnya yang berjaya mengawal emosi dan kekal fokus walaupun berdepan provokasi daripada pihak lawan, termasuk situasi melibatkan Kim Pan-gon.
Walaupun kecewa dengan keputusan tersebut, Aidil percaya peluang masih terbuka luas menjelang aksi separuh akhir kedua nanti.
Dengan prestasi yang ditampilkan, Kuching City FC dilihat mampu sekali lagi memberi cabaran besar kepada Selangor FC.
Keputusan seri mungkin tidak memihak kepada Kuching City, namun persembahan mereka membuktikan keupayaan sebenar pasukan itu.
Kini, segalanya bakal ditentukan dalam aksi kedua -- sama ada 'tuah' kembali memihak kepada Kuching City FC atau sebaliknya.