Skuad berbasikal trek negara pulang daripada pusingan kedua Piala Dunia UCI 2026 di Hong Kong dengan perkhabaran duka — tiada kilauan pingat berjaya diraih — serta kecederaan serius yang menimpa Ridwan Sahrom berikutan perlanggaran dalam saingan keirin, hujung minggu lalu.
Lebih menggusarkan, Ridwan merupakan sebahagian daripada trio pecut berpasukan elit yang baru memperbaharui rekod kebangsaan bergandingan bersama Fadhil Zonis dan Akmal Nazimi Jusena.
Advertisement
Detik malang itu tercetus apabila Ridwan terbabit dalam perlanggaran ngeri saringan keempat repechage keirin sebelum terjatuh dan mengalami kecederaan 'acromio clavicular (AC) joint disrupture'.
Hasil pemeriksaan lanjut mengesahkan Ridwan perlu menjalani pembedahan segera bagi mengelakkan sebarang komplikasi lebih buruk.
"Ligamen bahu saya putus di dua bahagian.
"Saya tak jangka ia terjadi dan ini pengalaman pertama saya terjatuh dalam kejohanan besar tapi inilah perjalanan saya hadapi sebagai atlet profesional," katanya di Nadi Arena.
Kecederaan itu hadir pada waktu paling perit dengan hanya beberapa hari sebelum Malaysia bertindak selaku tuan rumah Piala Dunia.
Lebih menyedihkan, pasukan pecut lelaki juga terpaksa berputih mata dan perlu menyusun semula perancangan pada saat akhir.
"Saya tidak boleh berlumba pada minggu ini.
"Hingga menyebabkan pasukan pecut terpaksa tarik diri, kasihan kepada rakan sepasukan sebab kami tiada pengganti.
"Kami tidak mahu mengambil risiko dan saya memerlukan 1-2 bulan untuk pemulihan," katanya.
