Sepanyol hari ini melaungkan kesediaan untuk bertindak sebagai tuan rumah bagi perlawanan akhir Piala Dunia 2030, menurut Presiden Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF), Rafael Louzan.
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), bagaimanapun, masih belum memutuskan venue perlawanan yang bakal dihoskan bersama-sama oleh Sepanyol, Portugal dan Maghribi.
Advertisement
Begitupun, Louzan pada malam tadi memberitahu pemberita bahawa perlawanan penentuan gelaran itu akan diadakan di Sepanyol tanpa tidak menyatakan di bandar atau venue yang tepat.
“Sepanyol akan menerajui Piala Dunia dan perlawanan akhir akan diadakan di sini,” katanya tanpa mengulas lanjut.
Stadium Real Madrid, Santiago Bernabeu, yang baru diubah suai disebut-sebut sebagai gelanggang final tetapi baru-baru ini, terdapat laporan bahawa Maghribi berminat untuk menjadi tuan rumah perlawanan tersebut.
Maghribi berharap dapat menjadi tuan rumah perlawanan akhir di Stadium Hassan II -- yang bakal menjadi stadium bola sepak terbesar di dunia dengan kapasiti 115,000 penonton selepas ia disiap pada 2028 -- yang sedang dalam pembinaan.
Barcelona turut mengubah suai stadium Camp Nou dan berpotensi untuk menganjurkan perlawanan akhir walaupun tiga negara Amerika Latin iaitu Uruguay, Argentina dan Paraguay turut diangkat sebagai tuan rumah bagi sebahagian temasya sempena sambutan ulang tahun ke-100 kejohanan itu.