Aksi luar biasa berlaku dalam perlawanan apabila seorang penyokong bertopeng bertindak mencabut palam monitor VAR menyebabkan pengadil tidak dapat melihat ulang tayang ketika semakan penalti.
Insiden pelik itu berlaku dalam pertembungan antara Preußen Münster dan Hertha BSC apabila pengadil, Felix Bickel dipanggil untuk menilai kemungkinan penalti melalui sistem VAR.
Advertisement
Namun sebaik tiba di monitor tepi padang, dia mendapati skrin tersebut gelap selepas seseorang telah mencabut bekalan kuasa.
Menurut kenyataan kelab Münster, seorang penyokong bertopeng dipercayai menyusup masuk ke kawasan dalaman stadium sebelum bertindak mencabut kabel kuasa monitor VAR.
Dalam masa sama, penyokong tuan rumah turut mempamerkan sepanduk bertulis *'Pull the plug on VAR', menunjukkan protes terbuka terhadap penggunaan teknologi tersebut.
Walaupun monitor di tepi padang tidak berfungsi, pegawai VAR di pusat operasi Cologne, Katrin Rafalski, masih dapat melihat ulang tayang dan memutuskan bahawa terdapat kekasaran dalam situasi tersebut.
Pengadil akhirnya memberikan penalti kepada Hertha, yang berjaya disempurnakan oleh pasukan pelawat.
Kemenangan 2-1 memihak kepada Hertha BSC selepas menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan.
Pihak Preußen Münster berkata insiden tersebut kemungkinan dirancang lebih awal, dan kelab berjanji akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengenal pasti individu yang bertanggungjawab.
Insiden ini sekali lagi mencetuskan perdebatan hangat mengenai VAR dalam bola sepak, dengan penyokong di beberapa liga Eropah semakin lantang memprotes penggunaannya.
