Aksi cemerlang di pentas Piala Asia Bangkok 2026 terus menjadi buah mulut apabila atlet memanah compound wanita negara, Dr. Fatin Nurfatehah Mat Salleh, membuktikan pengorbanannya meninggalkan sambutan Hari Raya Aidilfitri berbaloi dengan kejayaan membanggakan.
Berada di Thailand seawal hari pertama Syawal, Fatin mengetepikan suasana perayaan bersama keluarga demi tanggungjawab negara -- dan hasilnya cukup manis apabila beliau membawa pulang dua pingat perak dan satu gangsa.
Advertisement
Menurut Fatin, walaupun ini bukan kali pertama beliau beraksi di bulan Syawal, kejayaan kali ini memberikan makna yang jauh lebih besar dalam kariernya.
“Pengorbanan raya kali ini sangat berbaloi. Ia beri suntikan semangat dan keyakinan untuk saya terus kekal kompetitif di peringkat antarabangsa,” katanya.
Menariknya, bulan Syawal seakan membawa tuah buat atlet berusia itu. Sebelum ini, beliau turut mencipta kejayaan apabila meraih pingat gangsa berpasukan campuran di Piala Dunia Turkiye 2023, yang juga berlangsung ketika sambutan Aidilfitri.
Momentum positif tersebut kini menjadi bekalan penting buat Fatin yang dijangka kembali menggalas cabaran negara dalam Piala Dunia 2026 peringkat kedua di Shanghai, China tidak lama lagi.
Dalam perkembangan sama, Fatin yang baru sahaja menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam Pendidikan Sains Sukan, mengakui kini mampu memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap karier sebagai atlet.
Tanpa beban komitmen akademik, beliau melihat musim 2026 sebagai platform terbaik untuk meningkatkan prestasi ke tahap lebih tinggi.
“Sekarang fokus saya lebih jelas sebagai atlet. Sasaran utama sudah tentu untuk berada pada tahap terbaik menjelang Sukan SEA Malaysia 2027,” jelasnya.
Dengan pengalaman, disiplin serta kekuatan mental yang semakin matang, Fatin kini dilihat sebagai antara sandaran utama negara untuk menghadiahkan kilauan emas di temasya dwitahunan itu.
Pengorbanan Syawal mungkin perit, namun bagi Fatin -- ia adalah harga yang wajar dibayar demi mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.