Susulan pengumuman atlet podium bagi skuad pencak silat kebangsaan, jurulatih silat olahraga negara, Fauzi Khalid, menyifatkan cabaran besar perlu ditempuhi barisan kejurulatihan dan juga atlet apabila peraturan baru diperkenalkan.
Kali ini, Kejohanan Pencak Silat Terbuka Belgium akan menjadi medan ujian pertama dalam melihat kesiapsiagaan anak buahnya dalam membiasakan diri dengan peraturan baru tersebut.
Advertisement
Lebih-lebih lagi, ia juga merupakan persiapan dalam menghadapi tahun 2026 yang padat dengan kejohanan besar.
"Pasukan kali ini sangat mantap, cuma perlu perbaiki aspek taktikal dengan peraturan baru. Kejohanan di Belgium ini kali pertama kami terapkan peraturan baru ini," katanya.
Fauzi juga berkongsi mengenai perbezaan ketara dengan zamannya sebagai seorang pesilat iaitu mentaliti dan pemikiran atlet.
Bekas juara dunia itu juga mengakui generasi sekarang ibarat 'terlalu manja', namun dia berharap anak buahnya dapat bina semangat perjuangan yang teguh demi mengejar kejayaan tertinggi bersama skuad kebangsaan.
"Cabaran budak-budak zaman sekarang ini adalah matlamat mereka, dahulu saya mahu jadi jaguh di Asia, sekarang apabila goyang sedikit mereka hilang semangat.
"Dahulu berjuang untuk jadi juara, yang baru ini mentaliti mereka perlu diubah. Bagi saya kami perlu ajar mereka perancangan jangka masa panjang." ujarnya.