Skip to main content

Bola Sepak

Pemain bola sepak wanita Iran enggan nyanyi lagu kebangsaan

Piala Asia Wanita

Skuad bola sepak wanita kebangsaan Iran bertindak berdiam diri ketika lagu kebangsaan negara mereka, “Mehr-e Khavaran”, dimainkan sebelum perlawanan menentang Korea Selatan di Cbus Super Stadium, semalam.

Kesemua pemain hanya berdiri tegak dalam barisan sebelum sepak mula perlawanan Piala Asia Wanita itu dimulakan seperti biasa, namun tidak menyanyikan walau sepatah kata pun.

Advertisement

Wajah mereka kelihatan serius, bahkan ada yang dilihat menahan emosi ketika lagu berkumandang.

Jurulatih Iran, Marziyeh Jafari, juga dirakam tersenyum sinis dari tepi padang ketika anak buahnya memilih untuk membisu.

Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan memihak kepada Korea Selatan dengan kemenangan 3-0, namun perhatian dunia ketika ini lebih terarah kepada tindakan tersebut yang dianggap sarat dengan mesej politik dan kemanusiaan.

Menurut beberapa laporan media antarabangsa, tindakan tersebut hadir hanya sehari selepas Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, terkorban dalam serangan udara dengan Amerika Syarikat-Israel.

Isu berkenaan turut dibangkitkan dalam sidang media praperlawanan apabila kapten Iran, Zahra Ghanbari, dan Jafari diajukan soalan mengenai kematian Khamenei.

 


“Kita tidak sepatutnya bercakap tentang isu-isu ini sekarang,” tegas Jafari.

Seorang pegawai media daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kemudian mencelah dengan berkata, “Mari kita fokus kepada perlawanan sahaja,” sebelum sesi soal jawab diteruskan dengan soalan lain.

Presiden Persekutuan Bola Sepak Iran, Mehdi Taj, sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap masa depan bola sepak negaranya susulan krisis berkenaan.

“Yang pasti, selepas serangan ini, kami tidak boleh berharap untuk menantikan Piala Dunia dengan penuh harapan.

“Rejim Amerika Syarikat telah menyerang tanah air kami, dan insiden ini tidak akan dibiarkan tanpa balasan,” katanya.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pula memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau perkembangan semasa dan akan menawarkan sokongan sekiranya perlu.

Walaupun Iran mengisytiharkan tempoh berkabung selama 40 hari, skuad wanita mereka tetap dibenarkan beraksi di pentas Piala Asia. 
 

Must Watch Video