Peranan jurutera sukan bukan hanya menjadi tulang belakang kejayaan atlet, malah visi dan misi mereka yang menggabungkan prinsip kejuruteraan, fizik, serta sains sukan telah terbukti meningkatkan prestasi atlet menerusi inovasi canggih seiring demgan tuntukan dunia sukan moden.
Tahukah anda, kepakaran jurutera tempatan berjaya membangunkan teknologi inovatif yang dikenali sebagai projek prostetik berbasikal para?
Advertisement
"Asalnya ada pihak biomekanik yang ingin tingkatkan reka bentuk berbasikal para dan prestasi atlet.
"Kami sudah bertungkus-lumus untuk membinanya maka sudah tentu tidak patut kalau ia ditiru begitu sahaja.
"Jadi kami perlu lindungi hak cipta masing-masing dan tindakan boleh diambil jika ia ditiru," terang Jurutera Mekatronik (R&D) Inovasi Sukan Institut Sukan Negara (ISN), Tengku Aiman Harith Tengku Aiman Shabirin, di Nadi Arena.
Projek ini bertujuan untuk mereka bentuk, menghasilkan dan menguji prostetik khusus yang disesuaikan dengan atlet berbasikal para negara bagi meningkatkan prestasi kayuhan.
Fokus utama adalah untuk meningkatkan daya kuasa, kecekapan pergerakan dan tahap aero dinamik di samping memastikan keselesaan dan kesesuaian atlet.
Projek ini juga membolehkan penilaian prestasi dibuat secara berperingkat dengan membandingkan prostetik sedia ada, prototaip penambahbaikan dan reka bentuk akhir yang dioptimumkan.
Dengan potensi untuk didaftarkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), inovasi ini mampu menjadi aset bernilai tinggi dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam pembangunan teknologi sukan.