Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, menegaskan keutamaan pemberian Skim Hadiah Kemenangan Atlet Kebangsaan (SHAKAM) adalah berdasarkan tahap persaingan dan penglibatan menyeluruh di peringkat antarabangsa.
Jelasnya, atlet para diberikan keutamaan atas faktor persaingan di pentas global melibatkan penyertaan meluas daripada pelbagai negara serta tahap kompetitif yang tinggi dan konsisten.
Advertisement
Sementara itu, bagi sukan pekak pula, persaingan di peringkat antarabangsa masih terhad dan tidak melibatkan penyertaan menyeluruh seperti sukan para.
"Trend penyertaan sukan bagi Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) masih lagi kurang berbanding atlet para dan normal.
"Kerana trend sukan pekak, penglibatan kejohanan hanya memiliki lapan negara.
"Ini menunjukkan persaingan masih lagi belum sehebat atlet para atau normal.
"Saya rasa MSDeaf perlu bersabar. Pengiktirafan telah diberikan oleh pihak kerajaan.
"Apabila kita merasakan sukan pekak sudah mempunyai ekosistem kejohanan yang lebih kukuh dan bersaing, kita akan menaikkan mengikut tahap yang sepatutnya," katanya.
Terdahulu menerusi laporan Stadium Astro pada Selasa lalu, Presiden MSDeaf, Dr. Ong Shin Ruenn, merayu agar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengiktiraf sukan orang pekak dengan memberi SHAKAM dengan kadar yang sama seperti sukan para.
Jika sebelum ini ganjaran kepada pemenang emas Deaflympics berjumlah RM80,000, MSDeaf berharap agar amaun berkenaan dinaikkan kepada RM500,000, setara dengan ganjaran Paralimpik.