Apakah Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-22 bakal diteruskan atau dipinda hingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak?
Dengan kehangatan temasya kebangsaan itu semakin dirasai, timbul persoalan mengenai status penganjuran selepas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dalam Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 berhubung cadangan penangguhan yang disifatkan sebagai satu amanat yang mencerminkan keprihatinan tinggi terhadap krisis tenaga global serta impaknya kepada ekonomi negara.
Advertisement
Pada Isnin, Sultan Sharafuddin menitahkan agar penganjuran temasya sukan dwitahunan itu ditangguhkan memandangkan peruntukan yang diperlukan adalah tinggi, selain mengambil kira ketersediaan infrastruktur sukan di negeri berkenaan.
Baginda berpandangan penganjuran tersebut lebih wajar diteruskan hanya selepas krisis di Asia Barat selesai dan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya, bagi memastikan kelancaran penganjuran serta pengurusan kewangan yang lebih stabil.
Menurut laporan semasa sebelum ini pada awal bulan lalu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Menteri Belia dan Sukan, Dr. Taufiq Johari, berkata penganjuran temasya itu akan tetap diteruskan bagi menghargai persiapan rapi yang telah dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor selaku tuan rumah serta kesediaan atlet dari setiap negeri yang telah lama berlatih, di samping mengelakkan implikasi kewangan yang lebih besar sekiranya berlaku penangguhan.
Kini, bahang ketidaktentuan mula menyelubungi arena sukan negara dengan nasib Sukma Selangor 2026 sekarang berada dipersimpangan tanda tanya.
Segalanya bakal terjawab pada minggu hadapan apabila satu mesyuarat khas akan diadakan pada 30 April bersama Jawatankuasa Tertinggi Sukma bagi mencari titik noktah nasib kejohanan terbesar domestik negara itu.
Mengambil kira kos pengurusan, logistik dan sebagainya, satu tamparan hebat buat tuan rumah tatkala persediaan venue, infrastruktur, jualan barangan cenderamata, pengagihan sukarelawan, pelbagai kelengkapan dan perancangan sudah bermula sejak tahun lalu.
Menyentuh isu sukarelawan, kebanyakannya datang daripada kalangan pelajar dan pekerja sepenuh masa. Permohonan cuti sudah dibuat dan pelajar harus mencari pekerjaan lain jika ditangguh.
Beberapa aspek perlu diambil kira sekiranya benar ia ditangguhkan. Tidak tertumpu kepada tuan rumah, malah kontinjen daripada negeri-negeri lain juga akan terpalit dengan isu pembaziran. Apa pula kata penaja? Sokongan atau sumber berpotensi berkurangan dan tiada tambahan dana boleh berlaku.
Kos tambahan boleh berlaku akibat berisiko kehilangan deposit atau perbelanjaan sedia ada. Tidak termasuk dengan kos penyelenggaraan tambahan.
Sukma sebagai wadah pencarian bakat baharu untuk mewakili skuad negara, persediaan menuju Sukan SEA 2027 bakal terkena tempias ekoran penjadualan yang bertindih dan akan mengakibatkan pembangunan atlet terjejas.
Momentum akan diganggu berikutan latihan yang dibuat sejak tahun lalu terpaksa menanti lebih lama. Moral dan semangat atlet bakal terputus.
Tekanan fasiliti dan kemudahan turut memberi kesan besar kerana Sukma umum diketahui boleh menarik rangsangan ekonomi, namun perlu merangka Pelan B apakah langkah terbaik berikutan penangguhan. Tempahan pengangkutan dan makanan terpaksa difikirkan semula.