Apa lagi yang bakal terjadi? Bola sepak Malaysia terletak di mana?
Wajarkah kita memukul rata kegagalan projek jangka masa pendek berkenaan naturalisasi atau warisan? Siapakah sebenarnya yang bersalah?
Advertisement
Titik noktah nampaknya belum kelihatan apabila kemelut isu pemalsuan dokumen tujuh pemain kebangsaan belum selesai sepenuhnya dengan tumpuan utama adalah mencari dalang kepada segala misteri yang terjadi sejak mula Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan hukuman pada September 2025 lalu.
Terbaru, seperti sudah dijangka, dua kemenangan skuad kendalian Peter Cklamovski dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 ditarik, sekali gus mengakibatkan impak penolakan enam mata menyaksikan kita telah terlepas dan gagal ke pusingan akhir, sementara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terus didenda.
Vietnam sah ke Arab Saudi, dan langkah Malaysia terhenti. Untuk apa lagi kita memohon alasan dan rayuan?
Episod gelap ini telah mencemarkan nama Malaysia dan menjadi bualan seluruh dunia. Bukankah impian kita semua untuk melihat bola sepak negara beraksi dalam Piala Asia dan Piala Dunia? Tetapi permasalahan ini terus meruncing, sekali gus menghampakan harapan peminat tanah air.
Yakini bahawa tiada erti putus asa, walaupun menelan pahit realiti. Fokus utama adalah memperbaiki imej, mencari solusi dan mengangkat kembali martabat bola sepak tempatan di arena antarabangsa meskipun melalui fasa panjang agar pisang tidak berbuah dua kali.
Kita perlukan revolusi yang sebenar. Siapakah yang harus bertanggungjawab?
Laporan Stadium Astro menerusi Nadi Arena minggu lalu mendedahkan perkongsian Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang menjangkakan SESUATU LEBIH BESAR BAKAL BERLAKU.
Tidak mustahil jika FIFA sekali lagi membuka siasatan baru merungkai lagi beberapa isu seperti individu atau pegawai yang terlibat.
Tidak pasti selepas ini sama ada ia kekal negatif atau ada sinar di hujung terowong. Tiada siapa yang tahu kesudahan ini.
Kesannya sahaja sudah besar.
Timabalan Setiausaha Agung AFC, Vahid Kardany, berkata budaya tidak sihat yang berlaku dalam FAM menjadi punca badan induk itu lemah dalam menangani hal-hal berbangkit dan ia berlarutan sehingga menjadi barah.
Apakah yang dimaksudkan Vahid Kardany? Bukankan sepatutnya ia melibatkan proses yang telus? Sampai bila kita harus mematuhi budaya angguk tanpa sebarang bantahan? Akur dan tunduk sahaja?
Belum lagi sentuh mengenai aliran kewangan. Berapa banyak pembaziran dan pembayaran? Desakan peminat mahu membongkarkan segala kegiatan dalaman.
Namun, di sebalik isu panas ini, tetap fokus utama iaitu melahirkan 'the next generation of Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim' pada masa akan datang.
Program akar umbi wajib terus diperkasa dan 'meramaikan' lagi kumpulan pemain muda tempatan yang berbakat dan berjiwa besar. Waris anak watan harus menjadi pemangkin menyarung jersi Harimau Malaya. Bukan mengharapkan ihsan 'pemain luar' semata.