Olimpian beregu lelaki negara, Koo Kien Kiat, menganggap rasa sakit, kecewa dan sedih adalah proses untuk bergelar juara.
Jika pemain bijak memanupulasi kekesalan itu, ia mampu mengubah menjadi kekuatan untuk tampil lebih berkesan dalam perlawanan seterusnya.
Advertisement
"Memang tidak senang.
"Apabila anda menginginkan kemenangan, tetapi kalah jua lebih-lebih lagi dalam set penentuan yang sukar.
"Semangat pemain itu ibarat senang dicakap tapi susah dibuat.
"Mereka mengetahui perasaan sakit hati itu. Mereka harus mengekalkan keyakinan.
"Percayakan proses. Bukan satu atau dua minggu berlatih kemudian menjadi juara.
"Jika dapat mencari sumber kekalahan dan memperbaiki perkara tersebut, suatu hari pasti akan hadir keputusan baik," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Pemenang Sukan Komanwel lima kali itu merujuk kepada kejayaan tiga beregu negara membabitkan beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran negara yang baru sahaja bergelar juara dalam Masters Indonesia, semalam.
Bekas ranking pertama dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, dan Juara Dunia, Chen Tan Jie-Toh Ee Wei, pernah melalui fasa sukar, namun mereka akhirnya berjaya keluar daripada kepompong itu
"Senang cakap untuk menelan sakit hati itu.
"Saya rasa jurulatih mereka ada cakap; 'Tidak mengapa, anda bermain bagus walaupun anda kalah.
"Apakah maksudnya?
"Tapi, itu adalah satu proses dalam sukan. Menang kalah itu satu proses.
"Kepercayaan kepada diri sendiri ialah sangat penting," katanya lagi.
Berbaki lapan bulan sebelum Sukan Asia Aichi-Nagoya, Kien Kiat cabar wakil negara untuk lebih bersiap sedia jika ada hasrat untuk mengulangi pencapaian emas tunggal Malaysia sewaktu edisi 2006.
Bekas pemain negara itu menegaskan, walaupun penyertaan pemain negara dalam aksi hujung minggu lalu dilihat konsisten, namun itu belum cukup untuk beradaptasi suasana berbeza setiap kali ia membabitkan pentas temasya.
"Secara jujurnya, kita memang bergantung harap terhadap satu gandingan beregu campuran sahaja.
"Tetapi untuk beregu lelaki ada banyak gandingan yang mampu mencabar lawan.
"Standard mereka juga sudah setaraf.
"Kita ada peluang untuk mencapai kejuaraan Sukan Asia," tambahnya.