Skip to main content

Badminton

Kami ranking dua dunia tapi di Malaysia nombor satu, Axelsen ‘suka’ tengok Pearly-Thinaah

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

badminton

Juara Sukan Olimpik dua kali, Viktor Axelsen, berasa kagum dengan gaya permainan beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah, sambil memuji pendekatan menyerang yang menjadi identiti pasangan itu.

Axelsen, yang tampil dalam program The Average Not Average Podcast, mengakui gemar menyaksikan corak permainan agresif dipamerkan gandingan nombor dua dunia itu.

Advertisement

“Saya suka menonton gaya permainan kamu berdua, memang seronok dilihat.

"Saya perlu memberi kredit kepada kamu,” kata pemain Denmark itu.

Sebagai pemain perseorangan yang juga berorientasikan serangan, Axelsen turut bertanya sama ada karakter agresif Pearly-Thinaah lahir secara semula jadi atau diterapkan jurulatih.

Menurut Thinaah, pendekatan tersebut hadir secara natural dalam permainan mereka.

“Ia datang secara semula jadi. Dalam beregu, anda perlu ada pukulan ‘kill shot’. Pearly seorang ‘smasher’ yang kuat dan jauh lebih agresif daripada saya.

"Kami memang menikmati permainan menyerang dan rotasi pantas, dan jurulatih juga banyak menekankan aspek itu.

“Itulah identiti kami yang sempat hilang dalam beberapa perlawanan sebelum ini, dan kini kami cuba mendapatkannya semula.

“Dalami Masters Indonesia lalu, kami mula menemui rentak semula dan sedang berusaha konsisten ke arah itu,” katanya.

Thinaah turut mengakui tekanan sentiasa mengiringi mereka sebagai pasangan utama negara.

“Kami nombor dua dunia, tetapi di Malaysia kami pasangan nombor satu.

"Namun kami sentiasa mahu menjadi lebih baik untuk diri sendiri. Tidak perlu perubahan besar, peningkatan satu peratus pun sudah membantu.”

Prestasi keseluruhan Pearly-Thinaah, termasuk ketajaman serangan mereka, dilihat semakin meningkat sejak Rosman Razak mengambil alih jawatan ketua jurulatih beregu wanita pada 2024.

Musim ini, pasangan negara itu sudah pun meraih satu gelaran menerusi kejayaan dalam kejohanan bertaraf super 500 itu bulan lalu.

Sementara itu, Axelsen yang kini masih dalam proses pemulihan kecederaan mengakui dia merindui suasana tekanan di gelanggang.

“Ia satu pengajaran yang menarik. Saya rindu perasaan tekanan itu selepas berada di luar gelanggang. Situasi berisiko tinggi — walaupun anda mungkin tewas — itulah perkara yang mungkin paling dirindui apabila bersara nanti,” katanya.

Must Watch Video