Walaupun boleh disifatkan hanya sekadar perlawanan pemanas badan, EV Arena, Elmina kelihatan dibanjiri ratusan penyokong ragbi yang hadir memberi sokongan kepada pasukan sekolah masing-masing, pada aksi persahabatan lima penjuru semalam.
Perlawanan yang berlangsung dalam suasana hujan sepanjang malam itu menampilkan lima pasukan ‘kegemaran ramai’ iaitu SMK Shah Alam (SA Antlers), SMK Jalan 3 (ARAS), Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR), Maktab Tentera Diraja (RMC) dan Sekolah Sultan Alam Shah (SAS).
Advertisement
Biarpun bermain dalam keadaan hujan, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat pemain dalam padang serta penyokong setia mereka di tepi padang.
Menurut satu perkongsian media sosial oleh Jef Hazrul Nizam, atau lebih mesra disapa Abang Jep oleh para peminat ragbi, kawasan parkir padang begitu penuh sehingga ada yang terpaksa meletakkan kereta hampir 100 meter (m) daripada pintu masuk.
Apa yang menariknya, kehadiran ratusan penyokong ini berlaku walaupun saingan sebenar Super Schools Rugby (SSR) 2026 Divisyen Premier dan Akademi masih belum membuka tirai.
Dengan SSR dijadual membuka tirai pada 7 April ini, kehangatan yang tercipta dalam aksi ujian ini jelas membuktikan penyokong ragbi sekolah sudah tidak sabar untuk menyaksikan pasukan mereka beraksi dalam kejohanan ragbi sekolah paling berprestij itu.