Skip to main content

Advertisement

Badminton

Piala Thomas: Marcus Gideon bantu persiapan kem negara

bam indonesia

Skuad beregu kebangsaan mendapat suntikan semangat berharga menjelang saingan Piala Thomas & Uber bulan depan menerusi sesi latihan bersama bekas pemain nombor satu dunia.

Tumpuan terarah kepada bintang Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon, yang hadir ke Akademi Badminton Malaysia (ABM), untuk menjadi rakan sepelatih buat barisan pemain negara.

Advertisement

“Terima kasih kerana sudi meluangkan masa menjalani latihan dan sparring bersama pemain kami,” ujar Pengarah Kejurulatihan Kebangsaan, Rexy Mainaky, menerusi hantaran di media sosial peribadinya.

Hantaran itu turut memaparkan Gideon bergambar bersama barisan jurulatih kebangsaan yang lain, termasuk Herry Iman Pierngadi dan Nova Widianto.

Kehadiran Gideon di gelanggang dipercayai memberikan impak inspirasi serta intensiti berkualiti dalam persediaan pemain negara.

Bintang berusia 35 tahun itu mengumumkan persaraannya tepat pada hari lahirnya dua tahun lalu, selepas sekian lama mendominasi arena beregu lelaki dunia bersama pasangannya, Kevin Sanjaya Sukamuljo.

Antara pencapaian luar biasa gandingan itu termasuklah meraih pingat emas Sukan Asia 2018 dan merangkul 19 kejuaraan dalam siri Jelajah Dunia BWF.

Tahun lalu, Gideon turut menarik perhatian peminat sukan melalui penyertaannya dalam rancangan realiti, Physical: Asia, sekali gus menjadi satu-satunya pemain badminton yang pernah bertanding dalam program itu setakat ini.

Kini, Gideon terus menabur bakti dalam sukan badminton melalui akademi miliknya di Indonesia.

 

Must Watch Video