Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menunggu laporan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, berhubung hukuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan.
Ketika sesi perbahasan di Parlimen semalam, Hannah menjelaskan tindakan yang boleh diambil Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS).
Advertisement
"Pesuruhjaya sukan mempunyai kuasa seperti yang diberikan dalam Akta Pembangunan Sukan.
"Saya bagi contoh, menteri boleh mengarahkan Pesuruhjaya Sukan untuk memulakan siasatan atau audit tadbir urus ke atas FAM yang terdiri daripada pakar undang-undang ataupun kumpulan pakar bagi menyelia semua urusan yang melibatkan peraturan di peringkat antarabangsa.
"Namun, saya tangguh dahulu tindakan ini. Saya menunggu keputusan dan siasatan yang dilakukan oleh Tun Raus supaya tidak ada 'duplicate effort'.
"Saya tidak boleh memecat Ahli Jawatankuasa (AJK) FAM kerana ini akan melibatkan statut FIFA yang boleh membawa tindakan penggantungan oleh FIFA," katanya.
Hannah dalam masa sama turut meluahkan kerisauan peribadi mengenai kesan hukuman berat ini terhadap ekosistem bola sepak negara khususnya jaminan pemain tempatan terhadap skuad kebangsaan.
"Kerisauan saya, saya kena seimbangkan. Walaupun kontroversi sekarang melibatkan hanya pasukan kebangsaan senior, tetapi kita ada enam lagi pasukan nasional bawah 23 tahun (B-23), B-19, B-17, Malaysian Tigress serta seluruh pasukan wanita Malaysia.
"Pasukan-pasukan ini tidak bersalah, masih sedang berlatih untuk semua kejohanan yang terlibat," tambahnya.
Bercakap tentang projek naturalisasi dan warisan, Hannah juga memberikan pandangan masa hadapan.
"Untuk memastikan pada masa akan datang, sebarang permohonan naturalisasi atlet ataupun pemain yang dicadangkan oleh persatuan sukan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dirujuk dahulu kepada Majlis Sukan Negara (MSN) kerana melalui program pembangunan, inisiatif akar umbi telah dibelanjakan untuk pastikan ada atlet-atlet pembangunan dilahirkan.
"Jadi, MSN lebih tahu mengenai keperluan sama ada pasukan ini memerlukan pemain warisan atau tidak dan semua ini kalau boleh saya nak cadangkan kepada KDN untuk pastikan mendapat input daripada MSN.
"Pihak KBS ataupun MSN tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menghalang usaha mereka jika mereka mahu kerana FIFA membenarkan pemain warisan.
"Jadi, kalau mereka menginginkan pemain warisan, mereka kena mengikuti proses yang elok untuk pastikan tidak ada lagi isu kontroversi seperti ini," katanya lagi.