Bekas penyerang negara, Azlan Johar, menganggap desakan supaya kerakyatan tujuh pemain ditarik semula adalah wajar demi kejujuran permainan bola sepak.
Azlan menegaskan kerajaan perlu mengambil tindakan tegas berhubung isu ini berikutan Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) mengesahkan berlakunya pemalsuan dokumen kelayakan.
Advertisement
Keputusan itu mencetuskan gelombang reaksi dalam kalangan peminat bola sepak tempatan yang melihat isu berkenaan sebagai sesuatu yang mencalar imej bola sepak negara.
Lantas, Azlan berasakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selaku pengelola Liga Malaysia (Liga-M) perlu menilai semula kelayakan pemain terbabit beraksi sebagai pemain tempatan.
"Saya tidak rasa persatuan-persatuan ini akan mengikuti jejak MFL kerana mereka tidak mahu memainkan pemain sedemikian.
"Kerana ini akan menjadikan bola sepak itu tidak jujur, permainan itu menjadi tidak indah. Jika memalsukan dokumen, keindahan ini hilang dan kerajaan harus hindarkan perkara ini.
"Tindakan sewajarnya daripada kerajaan amat diharapkan oleh rakyat," katanya.
Janggal andai Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel dan Gabriel Palmero dibenarkan beraksi sebagai pemain tempatan tatkala tidak layak menyarung jersi Harimau Malaya.
"Apabila FIFA telah mengesahkan bahawa mereka memang tidak layak untuk menerima kerakyatan Malaysia.
"Jadi perkara ini harus ditarik oleh MFL, kalau MFL tidak bertindak sedemikian, MFL akan menjadi perhatian dunia dan menjadi satu badan induk yang tidak menunjukkan petanda yang baik dalam bola sepak," katanya.