Dunia e-sukan mudah alih melakar sejarah baharu apabila M8 World Championship Grand Finals diumumkan bakal berlangsung di Türkiye, sekali gus menandakan penampilan pertama kejohanan M Series di benua Eropah.
Pengumuman bersejarah itu dibuat oleh Cloud Zhang, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MOONTON Games, sempena ucapan beliau pada pentas M7 World Championship Grand Finals.
Advertisement
Selain itu, M8 Wild Card pula akan diperkenalkan di Thailand, menjadikan negara tersebut sebagai tuan rumah pertama acara M Series dalam sejarahnya.
Beliau turut menegaskan bahawa M7 World Championship bukan sekadar kejohanan tahunan, malah membawa makna istimewa kerana ia bersempena ulang tahun ke-10 Mobile Legends: Bang Bang (MLBB).
“Sepanjang sedekad ini, MLBB berkembang menjadi salah satu acara e-sukan terbesar dunia dengan tahap penglibatan pemain dan impak global yang semakin meningkat,” katanya, sambil menekankan kejayaan tersebut tidak mungkin dicapai tanpa sokongan peminat di seluruh dunia.
Cloud Zhang turut mengumumkan beberapa perkembangan penting yang bakal mengukuhkan lagi kedudukan MLBB di peringkat antarabangsa, antaranya, MLBB akan menyertai ENC, Sukan Asia ke-20 Aichi–Nagoya 2026 serta kemunculan kali ketiga MLBB di Esports World Cup (EWC).
Pengumuman ini bukan sahaja membuka lembaran baharu buat M Series, malah mengukuhkan lagi status MLBB sebagai e-sukan mudah alih paling popular di dunia, kini merentasi Asia ke Eropah.
“Marilah kita bersama-sama menikmati sambutan e-sukan global ini,” ujar Cloud Zhang, menutup ucapannya dengan penuh optimis terhadap masa depan MLBB Esports.