Gandingan beregu campuran negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei, meraih pujian ramai selepas memilih untuk berbahasa Melayu ketika sesi wawancara yang dijalankan dalam bahasa Inggeris oleh pengacara sukan di Istora Senayan, Jakarta, Indonesia, sebentar tadi.
Detik itu hadir sejurus pasangan negara tersebut dinobatkan sebagai juara Masters Indonesia, sekali gus mencuri perhatian bukan sahaja peminat badminton, malah warganet di media sosial.
Advertisement
Dalam ucapannya, Toh Ee Wei menzahirkan penghargaan kepada para penyokong yang membanjiri Istora Senayan serta peminat dari Indonesia dan Malaysia, sambil menegaskan rasa terima kasih atas sokongan padu yang diberikan sepanjang kejohanan.
Tindakan Tang Jie dan Ee Wei itu menerima reaksi positif apabila ramai warganet memuji keberanian serta keprihatinan mereka dalam memartabatkan bahasa kebangsaan di pentas antarabangsa, meskipun wawancara dijalankan dalam bahasa Inggeris.
Di gelanggang, gandingan berkenaan turut mempamerkan semangat juang luar biasa, apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan penuh bergaya.
Kejayaan di Istora Senayan itu turut mencatat sejarah tersendiri apabila pasangan ranking keempat dunia tersebut menjadi beregu campuran pertama negara yang berjaya merangkul gelaran juara Masters Indonesia.
Gabungan kejayaan di gelanggang dan keperibadian di luar gelanggang menjadikan Tang Jie–Ee Wei bukan sahaja juara dari segi keputusan, malah ikon kebanggaan negara di mata peminat badminton serantau.