Iran tidak boleh menyertai saingan Piala Dunia FIFA 2026 susulan ketegangan geopolitik yang tercetus selepas serangan udara dilancarkan oleh Amerika Syarikat bersama I***el terhadap negara itu.
Serangan tersebut dilaporkan mengorbankan pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei, sekali gus mencetuskan konflik besar di rantau Teluk sejak hampir dua minggu lalu.
Advertisement
Menteri Sukan Iran, Ahmad Donyamali, menegaskan bahawa situasi semasa menjadikan penyertaan pasukan negara dalam kejohanan bola sepak terbesar dunia itu mustahil.
“Memandangkan rejim yang korup ini telah membunuh pemimpin kami, dalam apa jua keadaan sekalipun kami tidak boleh menyertai Piala Dunia,” katanya kepada televisyen kerajaan Iran.
Menurut Donyamali, faktor keselamatan rakyat dan pemain menjadi sebab utama keputusan tersebut diambil.
Dia menyatakan bahawa rakyat Iran kini berada dalam keadaan tidak selamat selepas beberapa siri konflik yang didakwa dipaksa ke atas negara itu dalam tempoh lapan hingga sembilan bulan kebelakangan ini.
“Anak-anak kami tidak selamat dan pada asasnya keadaan untuk menyertai kejohanan kini tidak lagi wujud,” katanya lagi.
Piala Dunia 2026 dijadual berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai 2026 dengan penganjuran bersama oleh Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Dalam undian kejohanan yang berlangsung Disember lalu, Iran diundi dalam Kumpulan G bersama Belgium, Mesir dan New Zealand.
Kesemua perlawanan kumpulan Iran dijadual berlangsung di Amerika Syarikat, dengan dua aksi di Los Angeles dan satu lagi di Seattle.
Dalam perkembangan berkaitan, Iran juga menjadi satu-satunya negara yang tidak menghadiri sidang perancangan kejohanan yang dianjurkan oleh FIFA di Atlanta minggu lalu.
Setakat ini, badan bola sepak dunia itu masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai keputusan Iran untuk memboikot kejohanan tersebut.
Keputusan berkenaan dijangka memberi kesan besar kepada struktur pertandingan Piala Dunia 2026 sekiranya Iran kekal dengan pendirian mereka untuk tidak mengambil bahagian.