Dua hari selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berlangsung, suasana masih belum reda apabila pelbagai pandangan dan persoalan mengenai apa yang berlaku dalam mesyuarat itu terus hangat diperkatakan dalam kalangan pemerhati, peminat dan penggiat bola sepak tanah air.
Apa yang berlaku dalam EGM tersebut dilihat membuka satu lembaran baharu kepada bola sepak Malaysia -- bukan sahaja dari sudut pentadbiran, malah soal ketelusan, integriti dan hala tuju sebenar badan induk itu dalam menguruskan sukan paling popular negara.
Misi kini hanya satu -- untuk melihat kembali bola sepak Malaysia yang 'sakit' kembali sihat seperti suatu ketika dahulu.
Pendedahan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menerusi laporan penilaian tadbir urus FAM menjadi titik penting yang membuka pekung lama yang selama ini dipercayai tersimpan rapi.
Laporan tersebut mendedahkan beberapa kelemahan dalam aspek pengurusan organisasi, struktur pentadbiran dan ketelusan kewangan yang memerlukan perhatian serius.
Sebelum ini, Timbalan Setiausaha Agung AFC, Vahid Kardany, turut pernah menyuarakan kebimbangan terhadap budaya tidak sihat yang didakwa menjadi antara faktor utama kelemahan FAM dalam menangani isu-isu berbangkit.
Menurutnya, reformasi sebenar hanya mampu berlaku sekiranya budaya lama yang membelenggu organisasi itu dihapuskan sepenuhnya demi memastikan pentadbiran lebih profesional dan telus.
Bagaimanapun, kepincangan yang didedahkan tidak bermakna FAM gagal sepenuhnya. Sebaliknya, ramai percaya kelemahan yang wujud masih mampu diperbaiki sekiranya terdapat kesungguhan untuk melakukan perubahan secara menyeluruh.
Bekas Ketua Jabatan Pemasaran dan Tanggungjawab Sosial FAM, Sayf Ismail, mengakui dia tidak terkejut dengan kandungan laporan audit tersebut kerana menurutnya budaya sedemikian sudah lama wujud dalam badan induk bola sepak negara itu.
Dia berpandangan bahawa laporan penuh itu perlu diberikan akses kepada semua pihak berkepentingan agar penilaian dapat dilakukan secara terbuka dan telus.
Dalam masa sama, Sayf berharap Kongres Pemilihan FAM yang dijadual berlangsung pada September nanti bakal menyaksikan kemunculan barisan kepimpinan baharu tanpa bayangan wajah-wajah lama yang dikaitkan dengan budaya pentadbiran terdahulu.
Sementara itu, bekas pengurus Selangor, Zakaria Rahim, pula berpendapat laporan AFC tersebut sebenarnya lahir daripada sikap kebanyakan ahli gabungan yang terlalu lama memilih untuk berdiam diri.
Menurutnya, budaya 'berat mulut' dalam kalangan ahli gabungan sejak sedekad lalu menjadi antara faktor utama mengapa banyak isu dalaman gagal dibincangkan secara terbuka.
Perkara itu, katanya, jelas dapat dilihat ketika EGM berlangsung apabila hampir tiada perbahasan kritikal dilakukan terhadap perkara yang dibentangkan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberanian ahli-ahli gabungan untuk bersuara demi kepentingan bola sepak negara.
Dalam masa sama, reaksi penyokong dan peminat bola sepak Malaysia turut memperlihatkan satu mesej yang cukup jelas — mereka mahukan sesuatu yang segar daripada FAM.
Selepas pelbagai episod mengecewakan yang melanda bola sepak tanah air sejak beberapa tahun kebelakangan ini, peminat kini mahu melihat perubahan sebenar berlaku, bukan sekadar pertukaran individu semata-mata.
Apa yang lebih penting ialah pembentukan budaya kerja yang lebih profesional, sistematik dan telus demi mengembalikan keyakinan terhadap institusi bola sepak negara.
Harimau Malaya pernah menjadi simbol kebanggaan negara. Namun dalam beberapa tahun terakhir, pelbagai isu pentadbiran, prestasi dan pengurusan telah sedikit demi sedikit menghakis keyakinan rakyat terhadap masa depan bola sepak Malaysia.
Kini, selepas segala yang berlaku, misi terbesar bola sepak negara hanyalah satu — mengembalikan semula maruah Harimau Malaya ke tempat yang sepatutnya.