“Sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir, tetapi percaturan Aidil perlu bijak," demikian pandangan pemerhati bola sepak negara, Asmawi Bakiri, yang melihat cabaran besar menanti pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak, selepas skuad The Cats diundi bersama juara bertahan dua musim berturut-turut, Buriram United dalam Kumpulan A Kejohanan Kelab ASEAN ACC Piala Shopee musim 2026/27.
Menurut Asmawi, tiada keraguan terhadap kemampuan Kuching City berdasarkan prestasi cemerlang dipamerkan sepanjang musim ini, malah corak permainan diterapkan Aidil juga berjaya menjadikan pasukan dari Bumi Kenyalang itu antara pencabar utama di peringkat domestik.
Bagaimanapun, dia mengingatkan bahawa cabaran sebenar musim depan bukan sekadar soal kekuatan pasukan, sebaliknya bagaimana Aidil menguruskan kepadatan jadual melibatkan saingan liga domestik, kejohanan piala dan aksi peringkat Asia Tenggara.
Katanya, pengalaman Buriram United di pentas antarabangsa menjadikan kelab Thailand itu lawan paling sukar dalam kumpulan berkenaan, sekali gus memerlukan Kuching City tampil dengan perancangan taktikal yang lebih tersusun.
Selain aspek taktikal, pemilihan pemain dan penggiliran skuad juga bakal memainkan peranan penting dalam memastikan momentum pasukan terus konsisten sepanjang musim.
Bagi satu lagi wakil negara, Johor Darul Ta’zim (JDT), kemampuan Harimau Selatan dilihat berada pada tahap tersendiri dan kekal sebagai antara pasukan pilihan utama untuk mara sehingga ke pentas final.
Kualiti skuad dimiliki JDT, ditambah pengalaman luas beraksi di peringkat antarabangsa, menjadikan laluan mereka dalam saingan kali ini dilihat lebih meyakinkan berbanding pencabar lain.
Dalam pada itu, pertemuan menentang kelab Indonesia, Persib Bandung, dijangka menjadi aksi paling mencuri perhatian penyokong serantau.
Bukan sahaja melibatkan pertembungan dua pasukan gergasi Asia Tenggara, malah suasana di dalam stadium dijangka cukup luar biasa dengan kehadiran ribuan penyokong fanatik kedua-dua kelab.
Asmawi percaya aura dan tekanan dalam perlawanan berprofil tinggi seperti itu bakal menjadi ujian sebenar buat pemain, khususnya dari aspek mental dan disiplin permainan.
Bagaimanapun, beliau yakin pengalaman dimiliki JDT mampu membantu wakil Malaysia itu mengendalikan tekanan serta memenuhi harapan tinggi penyokong untuk melangkah jauh dalam kejohanan.