Skip to main content

Bola Sepak

IOC lancar siasatan terhadap Presiden FIFA

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

FIFA

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) akan meneliti penglibatan Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, dalam satu acara bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, baru-baru ini.

Ia, sekali gus menimbulkan persoalan berhubung potensi implikasi politik yang bercanggah dengan status IOC serta FIFA itu sendiri.

Advertisement

Presiden IOC, Kirsty Coventry, berkata dia tidak dimaklumkan bahawa Infantino — yang juga ahli IOC — hadir dalam mesyuarat pertama Board of Peace di Washington pada Khamis.

Infantino dilaporkan menyertai mesyuarat berkenaan dan mengumumkan bahawa FIFA akan menerajui dana berjumlah RM293 juta bagi membina semula kemudahan bola sepak di Gaza yang musnah akibat konflik antara Israel dan Palestin.

Infantino turut mencuri perhatian apabila muncul dengan memakai topi merah tertera tulisan 'USA'.

“Saya tidak sedar bahawa ada ahli IOC berada di barisan hadapan seperti yang dimaklumkan kepada saya sekarang. Jadi saya tidak mempunyai banyak komen buat masa ini,” kata Coventry pada sidang media dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk.

“Sekarang setelah perkara ini dimaklumkan, kami akan menelitinya. Piagam Olimpik sangat jelas mengenai apa yang diharapkan daripada ahlinya. Kami akan menyiasat dakwaan berkaitan penandatanganan dokumen tersebut,” katanya.

Menurut Piagam Olimpik, setiap ahli perlu “bertindak secara bebas daripada kepentingan komersial dan politik serta sebarang pertimbangan perkauman atau agama”.

Coventry menegaskan IOC akan terus berpegang kepada prinsip berkecuali dalam politik.

“Daripada sudut pandang IOC, kami akan kekal neutral secara politik. Itu satu-satunya cara untuk memastikan keadilan di arena pertandingan. Itulah prinsip yang akan kami terus pertahankan,” katanya.

Trump sebelum ini menjalin hubungan rapat dengan Infantino, khususnya menjelang Piala Dunia yang bakal dianjurkan bersama oleh AS, Mexico dan Kanada tahun ini.

Malah, Infantino pada Disember lalu menganugerahkan Trump dengan Anugerah Keamanan sulung FIFA sebagai pengiktirafan terhadap tindakan yang disifatkannya sebagai “luar biasa dan istimewa” dalam mempromosikan keamanan serta perpaduan dunia.

Must Watch Video