Skip to main content

Tinju

Trump cadang Jake Paul lawan Khabib Nurmagomedov

KHABIB

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengejutkan peminat sukan tempur minggu ini apabila mencadangkan personaliti media sosial yang kini bergelar petinju profesional, Jake Paul supaya menentang legenda UFC, Khabib Nurmagomedov.

Khabib bersara daripada sukan seni bela diri campuran (MMA) pada 2020 sebagai juara lightweight UFC dengan rekod sempurna 29 kemenangan tanpa kalah.

Advertisement

Sejak itu, beliau kekal teguh dengan keputusan persaraannya, termasuk menolak tawaran lumayan dilaporkan bernilai AS$100 juta (RM394 juta) untuk bertemu ikon tinju, Floyd Mayweather.

Namun begitu, Trump percaya perlawanan antara Paul dan Khabib menarik untuk ditonton.

Paul sebelum ini terkenal kerana menentang bekas bintang MMA dalam gelanggang tinju, termasuk mengalahkan Anderson Silva, Nate Diaz dan Ben Askren serta menewaskan Tyron Woodley menerusi knock out (KO).

Cadangan mengejut berkenaan timbul ketika perbualan antara Trump dan Paul dalam satu program sokongan kempen politik presiden AS itu di Hebron, Kentucky.

Dalam perbualan itu, mereka membincangkan dunia sukan tempur kerana Trump sememangnya terkenal dengan minatnya terhadap tinju dan MMA.

Apabila ditanya tentang lawan seterusnya, Paul berkata beliau ingin kekal dalam kelas cruiserweight atau mungkin mencuba MMA.

Antara nama besar yang disebutnya ialah Oleksandr Usyk, Francis Ngannou dan Ryan Garcia.

Apabila tiba giliran Trump menyuarakan pandangan, beliau secara terus berkata: "Saya mungkin akan kata Khabib. Apabila orang kata dia yang terbaik, memang dia hebat."

Paul tidak menolak cadangan itu dan menyatakan beliau terbuka untuk perlawanan tersebut, walaupun nama lain yang turut dipertimbangkan ialah Tommy Fury.

Dalam pada itu, Paul turut memberikan perkembangan tentang kesihatannya.

Petinju berusia 26 tahun itu berkata, rahangnya masih dalam proses pemulihan selepas perlawanan dengan Anthony Joshua pada Disember lalu.

Buat masa ini, cadangan pertarungan antara Paul dan Khabib masih sekadar idea.

Legenda UFC itu berulang kali menegaskan bahawa beliau sudah bersara sepenuhnya.

Bagaimanapun, cadangan mengejut daripada Trump itu telah mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan peminat sukan tempur. -Sinar Harian


 

Must Watch Video