Skip to main content

Bola Sepak

Footgolf: Punya bakat bertaraf dunia tapi terhalang kerana dana

footgolf

Di sebalik statusnya sebagai sukan baru, pemain footgolf Malaysia semakin mencipta nama di pentas antarabangsa.

Namun, kekangan kewangan terus menjadi halangan utama sehingga menjejaskan peluang pemain negara untuk terus bersaing dalam kejohanan dunia.

Advertisement

Pemain footgolf negara, Mohd Fahmi Hatta, memberitahu Malaysia sebenarnya memiliki rekod dan pencapaian yang sangat membanggakan.

“Pada Piala Dunia sebelum ini, kita ada seorang pemain yang berada pada ranking nombor 21 dunia,” katanya.

Tambahnya lagi, pencapaian di peringkat Asia juga membuktikan Malaysia bukan lagi pasukan kerdil.

“Untuk ranking Asia tahun lalu sahaja, dalam kelompok tiga terbaik sahaja ada dua wakil Malaysia iaitu di kedudukan nombor dua dan tiga. Malah dalam kelompok 10 terbaik juga, kita ada empat pemain,” jelasnya.

Tambah Fahmi, reputasi Malaysia di pentas dunia turut mendapat perhatian negara-negara kuasa besar sukan footgolf.

“Malaysia antara pasukan yang negara Eropah dan Amerika Latin akan berhati-hati jika berjumpa. Kita pernah mara ke suku akhir Piala Dunia dan mengejutkan pemain negara pilihan seperti Brazil dan Chile,” katanya.

Dia yakin peluang untuk mara lebih cerah sekiranya mendapat sokongan mencukupi.

“Saya percaya peluang untuk ke suku akhir dan separuh akhir dalam Piala Dunia itu tinggi.

"Tetapi realitinya sekarang, ada pemain yang berada dalam ranking dunia dan Asia pun tak dapat pergi Piala Dunia kali ini sebab kos.

 

 

"Kebanyakan mereka terpaksa keluarkan duit sendiri,” luahnya.

Sebagai contoh, pemain nombor satu Asia kategori super senior, Marzi Omar, terpaksa melupakan hasrat untuk menyertai Piala Dunia di Mexico pada Mei depan akibat masalah kewangan.

Menurut Fahmi, walaupun terdapat inisiatif kecil daripada pihak kelab, bantuan itu tidak mampu menampung keseluruhan perbelanjaan.

“Ada inisiatif daripada kelab untuk bantu, tapi sampai bila?,” katanya lagi.

Fahmi berharap pihak kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) atau pun Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN) dapat mempertimbangkan peruntukan dana tambahan bagi membantu pemain negara untuk melangkah lebih jauh.

Mereka dijadualkan menentang tuan rumah Australia dalam perlawanan seterusnya di Gold Coast.
 

Topik Berkaitan

Must Watch Video