Skip to main content

Bola Sepak

Eddy Gapil bersama PDRM pada waktu salah

eddy gapil

Saingan Liga Super musim ini memperlihatkan kepincangan PDRM selepas hanya merekodkan dua kemenangan dalam 20 perlawanan.

Lebih menggusarkan, skuad Sang Saka Biru itu kini menghuni dasar liga, satu senario berbeza berbanding musim-musim terdahulu.

Advertisement

Suatu ketika dahulu, PDRM merupakan pasukan 'giant killer' yang mampu mengejutkan pasukan pilihan dalam liga.

Bagaimanapun, situasi berbeza musim ini, di mana skuad kendalian Eddy Gapil itu bergelut untuk mencari rentak kemenangan.

14 kekalahan, empat seri dan hanya menjaringkan 15 gol menjadi petanda PDRM bukan lagi pasukan yang pernah mewarnai saingan liga dengan keputusan di luar jangkaan.

Atas dasar itu, bekas rakan sepasukan Eddy dalam skuad remaja kebangsaan, Razman Roslan, tampil memberikan sokongan demi kelangsungan karier pengendali berkenaan.

"Bagi saya Eddy Gapil merupakan seorang jurulatih muda yang bagus, dia juga pernah bersama saya sewaktu bergelar pemain," kata Razman kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis.

"Jadi saya tahu kualiti dan pengetahuan bola sepak yang dia ada.

"Tetapi untuk membimbing sebuah pasukan yang banyak masalah, mana-mana manusia atau jurulatih terbaik sekalipun akan menghadapi masalah.

"Mungkin waktunya untuk bersama PDRM musim ini sedikit sebanyak mengganggu perjalanan kariernya sebagai jurulatih.

"Saya pernah bermain bersama dengannya sewaktu bersama dalam skuad B-20 dan B-23 negara, ketika itu dia bersama Sabah dan saya bersama Selangor. Kami berada dalam kem yang sama.

"Saya harap dia tidak patah semangat dan teruskan karier sebagai seorang jurulatih."

 

Must Watch Video