Skip to main content

Bola Sepak

Dia mahu sebuah jakuzi di hujung katil -- Arkitek kongsi idea pelik Ronaldo bina rumah impian

ss

Bintang bola sepak terkenal dunia, Cristiano Ronaldo, dilaporkan pernah merancang untuk membina sebuah rumah agam mewah dengan rekaan yang agak pelik termasuk menempatkan sebuah jakuzi di hujung katilnya ketika fasa pertama beraksi bersama Manchester United satu ketika dahulu.

Bagaimanapun, projek impian itu tidak pernah menjadi kenyataan berikutan beberapa masalah ketika perbincangan dengan perancang bangunan, sebelum ikon Portugal tersebut akhirnya berhijrah meninggalkan England untuk menyertai Real Madrid pada tahun 2009.

Advertisement

Sewaktu permulaan kariernya di Old Trafford, Ronaldo merupakan bintang muda yang sedang memuncak di bawah bimbingan Sir Alex Ferguson apabila dia berjaya merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara pertama serta mula memenangi anugerah Ballon d'Or.

Seiring dengan status global dan pendapatan yang tinggi, Ronaldo mula menunjukkan minat terhadap gaya hidup mewah.

Dalam usaha membina empayar hartanah dan koleksi kereta mewahnya, Ronaldo telah diperkenalkan kepada arkitek terkenal Portugal, Eduardo Souto Moura menerusi rakan karibnya, Antonio Salvador (individu yang kemudiannya menjadi Presiden kelab Sporting Braga).

Bercakap kepada portal Publico, Souto Moura mendedahkan pengalaman dan perbincangannya bersama penyerang sensasi tersebut yang disifatkannya sebagai unik kerana sering meminta rehat untuk melakukan senaman serta mengemukakan beberapa permintaan pelik.

"Saya dicadangkan kepadanya oleh seorang rakan yang juga kontraktor yang memberitahu Ronaldo bahawa saya telah membina Stadium Braga. Dia bertanya sama ada saya mahu membina rumahnya, dan saya bersetuju.

"Saya terbang ke Manchester untuk bertemunya. Saya bertanya bagaimana rekaan rumah yang dimahukan dan perkara-perkara biasa. Namun, dia seorang individu yang sangat unik. Apa yang mengagumkan saya, dia menghentikan perbualan kami setiap 15 minit kerana mahu pergi melakukan latihan kecergasan. Saya faham, itu adalah hasil usaha kerasnya yang luar biasa," ujarnya.

Berkongsi antara idea pelik Ronaldo, arkitek itu memberitahu: "Dia mahu sebuah jakuzi diletakkan di hujung katil, dan saya terus membantah: 'Tidak, anda akan lemas. Anda mungkin bangun dalam keadaan mamai dan terjatuh ke dalam jakuzi itu!' Ada perkara yang saya tidak akan buat, dan dia faham lalu ketawa.

"Ketika itu dia belum bergelar bintang besar, dia adalah seorang yang mesra dan mudah diajak berbual. Dia juga mempunyai keutamaan yang tinggi terhadap keluarga. Rumah itu dirancang untuk mempunyai 10 buah bilik tidur. Ia adalah satu pengalaman yang baik sepanjang hubungan saya dengannya," katanya. - Sinar Harian

Topik Berkaitan

Must Watch Video