Kontinjen pekak Malaysia tiba di tanah air hari ini selepas menamatkan kempen dalam temasya Deaflympics Tokyo 2025 dengan kutipan satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa.
Meskipun tidak mencapai sasaran yang ditetapkan, namun skuad negara berjaya mempertahankan pingat yang sebelum ini diraih dalam acara tumpuan iaitu karate, badminton dan tenpin boling.
Advertisement
Timbalan Menteri Belia Dan Sukan (KBS), Adam Adli, yang menyambut kepulangan kontinjen itu menjelaskan pencapaian kali ini akan menjadi asas penting bagi penambahbaikan menyeluruh melibatkan sukan kategori pekak dan para.
Dia juga menegaskan KBS komited menyahut cabaran untuk memperkukuh struktur sokongan termasuk pembangunan bakat, penyediaan fasiliti dan peluang pertandingan yang lebih kompetitif bagi memastikan atlet pekak berada pada landasan sama dengan atlet arus perdana.
"Ini masih lagi cabaran kerana di peringkat antarabangsa ada cara mengurus yang berbeza, tetapi kita tak boleh lihat ini sebagai alasan untuk memastikan atlet pekak negara agar diberikan layanan sama.
"Pemenang pingat akan diberikan imbuhan RM80,000 untuk pingat emas, RM40,000 untuk perak dan RM20,000 untuk gangsa.
"Kami akan pastikan untuk membantu dan sokongan tanpa diskriminasi walaupun praktik di peringkat antarabangsa berbeza." katannya.