Skip to main content

Boling

'Cara Berbeza Berbakti' -- Syafiq Ridhwan buka pusat boling

'Cara Berbeza Berbakti' -- Syafiq Ridhwan buka pusat boling

Nama Syafiq Ridhwan Abdul Malik tidak asing dalam arena tenpin boling negara namun kali ini, juara dunia 2012 itu mencuri tumpuan bukan di lorong pertandingan, sebaliknya di belakang tabir pembangunan sukan apabila tampil dengan pendekatan baharu -- membuka pusat boling miliknya sendiri.

Bagi Syafiq, langkah ini bukan sekadar perniagaan, tetapi satu bentuk sumbangan berterusan kepada negara.

Advertisement

“Ini salah satu cara saya terus menyumbang buat negara dengan pendekatan berbeza,” jelasnya.

Bermula dengan minat sejak kecil, perjalanan Syafiq dalam sukan tenpin boling berkembang menjadi karier gemilang selama lebih dua dekad. Kini, selepas 26 tahun berkecimpung, beliau memilih untuk membuka ruang kepada generasi baharu bagi mengembangkan bakat mereka.

Pusat boling yang dibangunkan itu bukan sahaja membuka peluang kepada masyarakat untuk mendekati sukan ini, malah menjadi platform mencungkil bakat baharu sekali gus memperkukuh masa depan tenpin boling negara.

Sebagai atlet berpengalaman, Syafiq sedar karier dalam sukan tidak kekal selamanya. Justeru, pembukaan pusat boling ini menjadi langkah strategik sebagai persediaan menghadapi kehidupan selepas persaraan.

Selain menjamin kestabilan pendapatan, ia juga membuka peluang kepada beliau untuk terus kekal relevan dalam industri sukan yang telah membesarkan namanya.

Dalam masa sama, inisiatif ini dilihat sebagai pelaburan penting dalam pembangunan sukan boling di Malaysia. Dengan menyediakan fasiliti berkualiti, Syafiq berharap lebih ramai masyarakat dapat menikmati pengalaman bermain yang lebih profesional.

Anak jati Kuala Lumpur berusia 39 tahun itu optimis pendekatan yang diambil mampu memberi impak jangka panjang kepada sukan ini.

Walaupun sibuk menguruskan pusat boling, Syafiq tetap komited untuk bersaing di pentas kompetitif, menjadikan langkah ini sebagai keseimbangan antara karier semasa dan masa depan.

Usahanya jelas membuktikan bahawa sumbangan kepada negara tidak terhad di gelanggang semata-mata -- tetapi juga melalui usaha membina legasi untuk generasi akan datang.

Topik Berkaitan

Must Watch Video