Bekas jurulatih paralimpik, R. Jeganathan, menyifatkan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi wajar diberi penghargaan oleh Kementerian Belia Sukan (KBS) mahupun Majlis Sukan Negara (MSN) berikutan persaraan paralimpian pecut negara itu pada 3 April lalu.
Hal ini kerana 'Dek Wan' paralimpian pertama yang menghadiahkan pingat emas untuk negara dalam temasya di Rio pada 2016.
Advertisement
"Saya minta MSN, MPM dan KBS turun padang kerana dia bukan ada pelajaran.
'Saya harap diberi peluang untuk bantu atlet baru kerana dia merupakan pemenang emas Paralimpik.
"Jangan buang dia macam itu. 20 tahun dia berkorban untuk negara," katanya.
Dalam masa sama, Jeganathan turut mengenang pengorbanan besar sepanjang membimbing Dek Wan, termasuk tidak menghadiri majlis perkahwinan anak kandungnya sendiri hingga terpaksa bermasam muka demi memastikan anak buahnya itu bersedia untuk beraksi dan menaiki podium di pentas antarabangsa.
Baginya, segala pengorbanan itu akhirnya berbaloi dengan kejayaan yang dikecapi oleh Dek Wan sepanjang kerjaya.
"Dalam agama kami, ayah mesti ada ketika perkahwinan anak perempuan sulungnya.
"Tapi saya komited terhadap untuk menaikkan Dek Wan. Dia buktikan emas dalam 2016.
"Jadi saya mengalami kemenangan dan kekalahan kerana sampai sekarang dia tinggalkan saya (masih dingin).
"Tapi saya telah melahirkan seorang juara paralimpik dari tiada apa-apa," katanya.
