Bekas perseorangan nombor satu dunia, Roslin Hashim, mengingatkan pemain negara agar tidak terlalu selesa jika masing-masing meraih keputusan positif dalam Kejohanan Badminton Asia (BAC) Ningbo, China awal bulan depan.
Baginya, kejayaan dalam kejohanan di China itu tidak boleh dijadikan kayu pengukur sebenar untuk misi negara dalam Piala Thomas memandangkan kedua-dua kejohanan itu menjanjikan suasana dan format berbeza.
Advertisement
Perseorangan lelaki, Leong Jun Hao, dijadualkan bertemu pemain Indonesia, Jonatan Christie, dalam pusingan pertama manakala Justin Hoh pula bakal membawa cabaran negara berdepan pemain meningkat naik Indonesia, Farhan Alwi.
Bagaimanapun, Roslin, yang merupakan perseorangan ketiga negara ketika bergelar naib juara Piala Thomas 2002, mengakui skuad ketika ini perlu bersatu kerana kejohanan berkenaan sentiasa menjanjikan kejutan.
"Dalam pusingan pertama, siapa-siapa sahaja boleh menang," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zaki Zainal.
"Ia terpulang kepada persiapan Jun Hao dan Justin kerana yang paling penting adalah persiapan mereka.
"Tetapi BAC ini juga tidak boleh diambil mudah. Walaupun mereka dapat menang dalam pusingan pertama, mereka jangan terlalu selesa kerana ia kejohanan yang amat berbeza dengan Piala Thomas.
"BAC adalah kejohanan individu manakala Piala Thomas pula kejohanan berpasukan.
"Kita juga tahu dalam acara berpasukan, persiapan Indonesia lebih jitu."