'Tinggalkan isteri demi Malaysia.'
Demikian pengorbanan besar yang dilakukan jurulatih baharu olahraga negara, Mohamed Azarudeen Syed Ibrahim, demi menyahut cabaran baharu dalam karier kejurulatihannya.
Dalam temu bual eksklusif bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, jurulatih dari India itu mendedahkan bahawa dia baru sahaja melangsungkan perkahwinan pada Januari lalu, namun terpaksa berjauhan dengan isterinya bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugasan baharunya tersebut.
Azarudeen dilantik oleh Olahraga Malaysia (MA) sebagai jurulatih kebangsaan bagi acara jarak sederhana dan jauh dengan harapan mampu meningkatkan prestasi atlet negara menjelang temasya utama.
"Ini satu langkah besar dalam karier saya.
"Malaysia mempunyai bakat dan sejarah jadi saya ingin mengembalikan kegemilangan itu.
"Saya ingin mencabar diri sendiri dan dengan pendekatan sebegini, ia menjadi dorongan untuk saya melahirkan ramai atlet.
"India melahirkan ramai jaguh jarak sederhana dan memenangi emas 2018 (Sukan Asia).
Dalam masa sama, Penyelaras Program Kejurulatihan MA, Manshahar Abd Jalil, berkata latar belakang Azarudeen memenuhi hala tuju yang ingin diterapkan badan induk kebangsaan itu.
"Dia memahami budaya kita. Dia tidak hanya akan memantau atlet tertentu sahaja, dia juga akan menyelaras atlet di peringkat kebangsaan selain membina program pembangunan di peringkat negeri," katanya.
Ketibaan Azarudeen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut disambut oleh Setiausaha Agung MA, Nurhayati Karim, hari ini.
Nurhayati mengesahkan dua atlet negara, Irfan Shamsuddin dan Grace Wong, melayakkan diri ke Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Kedua-dua atlet tersebut memperoleh tiket ke temasya berkenaan menerusi kedudukan ranking yang menempatkan mereka dalam kelompok 10 terbaik acara masing-masing.