30 peminat cukup puas apabila berkesempatan bertemu juara dunia Interim Muay Thai Strawweight One Championship, Aliff Rakib, di KIB Boxing Muay Thai Gym, Setapak, semalam.
Lebih mengharukan, rata-rata yang yang hadir adalah peminat cilik yang bersemangat membara, sekalipun sesi bertemu peminat itu diadakan pada hari persekolahan.
Petarung kelahiran Rantau Panjang itu turut menanam impian untuk melahirkan jaguh dunia yang seterusnya menerusi gimnasium milik abangnya, Nor Iman Rakib, yang pernah menyumbangkan pingat emas dalam Sukan SEA 2022.
"Saya nak naikkan nama Malaysia, (buktikan bahawa) orang Malaysia tidak mengalah kepada negara-negara mana pun.
"Saya nak lahirkan petarung di gimnasium ini -- sampai ke puncak dunia -- lebih lagi daripada pencapaian saya (sendiri)," katanya.
Aliff pada 24 Julai lalu menumbang legenda muay thai Thailand, Sam-A Gaiyanghadao, untuk dililiti tali pinggang itu sebelum mencabar juara sebenar, Prajanchai Pongsuphan PK, dalam satu lagi pertemuan yang cukup ditunggu-tunggu, bulan depan.
"Saya nak buat persediaan yang lebih kuat.
"Sebelum ni saya dah buat yang kuat, tapi ini lagi yang kuat.
"Lebih bekerja keras dalam soal latihan," katanya.