Wakil negara, Kuching City, menegaskan hasrat mereka untuk menjadikan Stadium Taha Ariffin sebagai gelanggang laman sendiri dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
Ketua Pegawai Eksekutif, Iswandi Ali Hassan, berkata penyenaraian Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos atau Stadium Larkin sebagai gelanggang alternatif tidak bermaksud kelab berkenaan akan beraksi di Johor sepanjang kempen ACL2.
Sebaliknya, beliau menjelaskan Stadium Larkin disenaraikan sebagai langkah persediaan sekiranya Stadium Taha Ariffin masih belum mendapat kelulusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dalam tempoh ditetapkan.
“Kami mahu beraksi di hadapan penyokong sendiri bagi semua perlawanan ‘home’ di Kuching. Namun, pada masa sama, kami mempunyai tanggungjawab untuk memastikan segala kemungkinan dirancang awal.
“Kerja-kerja menaik taraf Stadium Taha Ariffin sedang dilaksanakan bagi memenuhi keperluan dan piawaian AFC,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya lagi, The Cats kini sedang menunggu proses pemeriksaan dan keputusan AFC selepas kerja-kerja penambahbaikan selesai.
Iswandi juga berharap penyokong kekal tenang dan terus memberikan sokongan penuh kepada pasukan dalam usaha memastikan aksi ‘home’ di pentas Asia dapat berlangsung di bumi Kuching.
Naib juara Liga Super itu dijadualkan berdepan kelab Kemboja, Phnom Penh Crown, di laman lawan pada aksi pertama ACL2, sebelum menentang kelab Hong Kong, Kitchee, di bekas gelanggang keramat Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.