Abjad G.A.G.A.L mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat ianya membawa maksud tidak berhasil atau berjaya atau tidak mencapai matlamat.
Persoalannya, bagaimana sebuah perkataan ini mampu berdiri sebagai bom jangka dalam karier seorang atlet hingga penggunaannya seolah-olah diharamkan bagi bertindak balas akan keupayaan seseorang atlet dalam mencapai objektifnya:
Advertisement
Hari ini, penggunaan perkataan ‘gagal’ saban hari menghantui pengamal media susulan menjadi ancaman serta mengganggu psikologi atlet dalam beberapa sukan tertentu, walhal penggunaan kalimat itu terlihat lebih cakna dalam tanggungjawab selaku perantara atau penghubung sebuah informasi dan mencorak minda masyarakat.
Antara kepesatan dan kepenatan seseorang atlet dalam menggalas tanggungjawab negara sehinggakan mampu melahirkan trauma akut selepas dilabel ‘gagal’, sekali gus mencipta perasaan buli psikologi paling epik.
Persoalan seterusnya, sejauh mana kejayaan seseorang atlet yang meliputi disiplin tinggi, persiapan aspek fizikal dan mental selain komitmen berterusan dibatasi dengan satu perkataan, iaitu laporan tugasan daripada pengamal media dalam meletakkan sesuatu di tempat yang betul serta profesionalisme kewartawanan.
Berdasarkan cetusan teori Sigmund Freud, manusia berjuang dalam kehidupan yang penuh konflik antara id, ego dan superego yang menentukan tingkah laku manusia. Oleh itu, ia berpotensi memberikan efek secara tidak langsung kepada kehidupan atlet berdasarkan persekitaran seperti media sosial khususnya hingga mencetuskan kesan khas.
Natijah yang jelas dilihat adalah bagaimana desakan masyarakat akan pengharaman penggunaan perkataan ‘gagal’ itu dilihat enteng, tanpa sedar mematikan kreativiti penulisan pengamal media sekali gus menyemarakkan api kebangkitan yang sewajarnya menjadi pemangkin semangat buat atlet.
Daripada pemerhatian wartawan sukan berpengalaman negara, Rizal Hashim, menyifatkan budaya masyarakat era pascanormal kini tidak boleh menerima perkataan ‘gagal’ menyulitkan pengamal media dalam mencerita ‘sesuatu kekalahan’, selain menjelaskan atlet-atlet wajar berdamai dengan perkataan ‘gagal’ seandainya tidak mencapai objektif serta sasaran.
“Disebabkan pengamal media digesa elak guna perkataan gagal, ia membataskan kreativiti penulis dan wartawan sukan. Sukan biasanya direct, simple dan mudah. Menang atau kalah atau seri. Seandainya seorang atlet dengan ranking ‘No 1’ dunia tewas kepada seorang atlet dengan ranking lebih rendah, ia tentu dianggap kegagalan.
“Tetapi disebabkan budaya hari ini yang tidak boleh menerima hakikat, perkataan gagal dianggap tabu untuk menceritakan sesuatu kekalahan. Ini tentu sekali menyulitkan tugas pengamal media yang mahukan tajuk atau perkataan yang punchy.
“Masyarakat hari ini gemar menggunakan perkataan fail terhadap sesuatu kegagalan tetapi perkataan ini dilarang digunakan untuk menceritakan prestasi dan keputusan sesoerang atlet. Pencapaian seorang atlet boleh dilihat dari pelbagai sudut. Misalnya pakar pecut Danish Ifthikar Roslee mencatat rekod kebangsaan tetapi sekadar menduduki tangga ketiga dalam acara 100m di Sukan SEA baru-baru ini.
“Dari satu sudut, Danish mencatat keputusan positif dengan memenangi gangsa diiringi rekod kebangsaan. Ini bermakna dia tidak gagal dalam memburu emas. Bagaimanapun kekalahan Aaron Chia-Soh Wooi Yiik, bersandarkan reputasi selaku pemenang pingat gangsa beregu lelaki Sukan Olimpik Tokyo dan Paris, kepada pasangan Indonesia yang berada di ranking bawah bolehlah dianggap sebagai satu kegagalan.
“Seorang atlet prestasi tinggi harus sedar penyertaan mereka dalam sukan menuntut kekuatan fizikal dan mental. Mereka tidak boleh terlalu terpengaruh dengan kritikan sama ada yang bersifat negatif dan berbaur peribadi mahupun kecaman netizen dalam media sosial.
“Seandainya mereka muka baharu yang bertatih dalam arena sukan antarabangsa, wajar andai prestasi mereka dilapor secara positif. Tetapi seandainya mereka sudah mencapai standard tinggi dan beraksi di pentas Olimpik dan kejohanan dunia sukan masing-masing, gagal adalah satu perkataan yang harus mereka terima seandainya tidak menepati sasaran atau ramalan. Kesudahannya, kejayaan seorang atlet diukur menerusi kemenangan.” katanya.
Terdahulu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melihat pendekatan dengan mengambil kira nasihat dan saranan barisan pakar Nippon Sports Science University (NSSU), Jepun agar menggunakan ‘penetapan jumlah keseluruhan pingat’ berbanding ‘sasaran pingat emas’ ketika temasya Sukan SEA 2025.
Bekas Menterinya, Hannah Yeoh, berkongsikan: “Penetapan sasaran pingat emas memberikan tekanan berlebihan kepada atlet untuk mempamerkan prestasi terbaik di temasya sukan antarabangsa nanti.
“Pendekatan seperti ini juga merupakan amalan yang telah lama dilaksanakan di beberapa negara seperti Jepun, Korea, Iran, Singapura dan Hong Kong,” katanya dalam sesi soal jawab Dewan Rakyat di Parlimen pada 5 Februari lalu
Ironinya situasi ini, bagaimana aspek ‘tekanan’ mengubah landskap sukan negara dan memberikan kesan secara langsung kepada sasaran pingat yang tidak lagi diukur mengikut warna -emas, perak, gangsa- sebaliknya jumlah keseluruhan yang diraih kontinjen negara.
Sementara itu, pemain hoki negara, Syed Syafiq Syed Cholan, pula mentafsirkan perkataan ‘gagal’ sebagai peristilahan yang tidak adil buat mana-mana atlet yang berjuang membawa cabaran negara, walhal seolah-olah tiada usaha yang dipamerkan ketika membawa nama negara di pentas antarabangsa.
Malah, Syafiq yang juga merupakan pakar pukulan sudut penalti utama skuad hoki negara itu beranggapan sebarang liputan berunsur negatif daripada pihak media hanya menanam perspektif buruk terhadap minda masyarakat mengenai prestasi atlet yang sudah berjuang berhabis-habisan.
"Istilah 'gagal' bagi saya merupakan perkataan yang tidak berapa sesuai untuk digunakan kepada atlet kita kerana seolah-olah tiada daya usaha yang ditunjukan oleh atlet kita semasa berjuang untuk negara.
"Apabila target yang disasarkan tidak berjaya sudah pasti atlet lebih terkilan berbanding media dan rakyat Malaysia kerana percayalah bahawa kami sebagai atlet bertungkus lumus berlatih setiap hari hanya untuk berjuang demi membanggakan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
"Media merupakan platform rujukan kepada rakyat Malaysia. Setiap liputan negatif akan diambil secara bulat-bulat oleh rakyat Malaysia untuk menghentam atlet-atlet yang sudah berhempas pulas berjuang demi negara.
"Sekiranya ada media yang tidak berpihak kepada atlet tersebut, media lain sepatutnya menunjukkan sokongan dan kata-kata semangat kepada atlet kita bagi menangkis tanggapan negatif kepada atlet kita.
"Bagi saya liputan media yang tidak membangun ini hanya akan merosakkan imej negara sendiri dan tidak membawa kebaikan kepada nama Malaysia juga." kongsinya.
Perkara itu turut tidak dinafikan Pengarah Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ts. Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip, bahawa label 'gagal' terhadap atlet boleh memberikan kesan mendalam, namun tidak menolak bahawa aspek itu juga bergantung kepada tahap kematangan seseorang atlet dalam menilai kritikan.
"Laporan media mempunyai kesan yang signifikan terhadap psikologi atlet, sama ada dalam bentuk positif atau negatif. Media bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi juga membentuk persepsi awam, jangkaan sosial dan identiti atlet itu sendiri.
"Daripada sudut psikologi sukan, pendedahan media yang berlebihan—terutamanya laporan yang bersifat sensasi, kritikal atau berat sebelah—boleh meningkatkan tekanan prestasi, kebimbangan dan ketakutan terhadap kegagalan.
"Media adalah pedang dua mata—ia boleh menjadi sumber sokongan psikologi atau pencetus tekanan mental bergantung kepada nada dan kandungan laporan. Justeru itu, media perlu mainkan peranan penting sebaga pencetus motivasi kepada atlet untuk berjaya.
"Label negatif seperti “gagal” boleh memberi kesan mendalam terhadap psikologi atlet, terutamanya jika atlet tersebut berada pada fasa pemulihan kecederaan, prestasi tidak konsisten dan peralihan kerjaya. Namun, bergantung kepada tahap kematangan mental atlet, sokongan sosial sekeliling, keupayaan kognitif atlet menilai kritikan secara rasional." kongsinya.
Mendidik masyarakat, prinsip dan tanggungjawab merupakan nafas yang perlu ditarik bersama-sama pengamal media hari ini dalam-dalam seiring dengan kebebasan melaporkan, malah lebih rapat daripada urat nadi sekalipun. Meskipun, bertanggungjawab dalam melaporkan kebenaran, namun tanggungjawab membentuk persepsi dan tanggapan perlu menjadi tunjang utama.
‘Wartawan sejati jarang makan gaji, tetapi selalu makan hati’ antara yang dilontarkan Sasterawan Negara (SN), Datuk Seri A. Samad Said dalam karya Hujan Pagi. Hari ini kenyataan itu seakan lebih bererti dan bermakna buat pengamal media bahawa kebenaran, kejujuran serta kelantangan tidak selalu menang. Oleh itu, media memegang dinamik yang kuat dalam negara sebagai instrumen menyatupadukan mahupun memecahbelahkan.