Skip to main content

Sukan Lain

Wabak denggi: Skuad silat ambil langkah waspada

1217nasrinasir.jpg
Ketua jurulatih silat kebangsaan, Nasri Nasir, mahu melihat barisan pesilat negara mengambil serius penularan wabak denggi di sekitar Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil ketika ini.

Sejak beberapa hari lalu, enam pesilat negara mengalami demam, namun masih belum disahkan positif wabak itu.

Nasri berkata inisiatif sewajarnya seperti merancang jadual dan venue latihan perlu diambilnya memandangkan kesemua atlet turut diarahkan meninggalkan kediaman buat sementara hari ini bagi memberi ruang kepada proses semburan racun.

"Saya pun berpengalaman dijangkiti denggi. Saya rasa ia bukan satu perkara yang perlu diambil mudah. Saya harap semua atlet mengambil langkah yang positif.

"Kami mesti berhati-hati. Contohnya, saya yang mengendalikan latihan perlu memilih waktu dan tempat yang selamat untuk atlet," katanya.

Dalam pada itu, Nasri mahu skuad pesilat negara memanfaatkan kem latihan selama seminggu di Yala, Thailand, bermula 8 Februari ini, khususnya perlawanan persahabatan dengan beberapa pesilat dari negara itu untuk persiapan Sukan SEA.

"Memang kem itu akan melibatkan pesilat yang akan menyertai Sukan SEA. Saya rasa mereka pun (Thailand) ingin menguji atletnya," tambahnya.

Masalah wabak denggi yang sedang menular di MSN ketika ini amat membimbangkan.

Terbaru, 26 kes dilaporkan dalam masa yang singkat sejak kebelakangan ini.

Tiga individu sedang dirawat di hospital ketika ini, dengan satu kematian sudah direkodkan melibatkan seorang pegawai MSN, minggu lalu.

Advertisement

Must Watch Video