Skip to main content

Hoki

Van Huizen sasar empat terbaik di London

5417hokimalaysia.jpg
Ketua jurulatih hoki negara, Stephen Van Huizen, meletakkan sasaran empat terbaik dalam kumpulan untuk aksi separuh akhir Liga Hoki Dunia di London, 15 Jun depan.

Dia tidak tertekan apabila pasukannya berkemungkinan berentap dalam kumpulan bersama Argentina yang berada di ranking teratas dunia selain England, Kanada dan China.

Bahkan dia percaya anak buahnya mampu memberi aksi kompetitif untuk sekurang-kurangnya meraih tempat keempat terbaik kumpulan dan bonus jika mampu menewaskan Kanada yang berada di ranking ke-11.

Persiapan harus lebih serius kerana saingan amat berbeza jika dibanding dengan pusingan kedua di Dhaka, Mac lalu, yang menyaksikan Malaysia bergelar juara.

"Objektif pertama adalah menamatkan saingan di kelompok empat teratas," katanya. "Dan bermakna kami harus menewaskan sekurang-kurangnya satu perlawanan, menentang China atau Kanada."

"Kalau kami mendapat keputusan yang baik dalam perlawanan lain, kami boleh mengelak bertemu pasukan pilihan dalam kumpulan lain."

Van Huizen menegaskan dia tidak semestinya akan memilih pemain sama yang beraksi dalam Piala Sultan Azlan Shah pada 27 April ini untuk aksi separuh akhir Liga Hoki Dunia di mana perubahan pemain tetap dilakukan.

Penyerang negara, Faizal Saari, yang sudah pulih daripada kecederaan, pasti akan memberi saingan buat penyerang lain yang telah beraksi di Dhaka dalam merebut tempat 18 pemain untuk ke London.

"Sekarang, Faizal sudah pulih daripada kecederaan. Dia akan berjuang dengan skuad yang pergi ke Dhaka. 

"S. Kumar juga dapat kembali selepas isterinya bersalin, jadi tiga penjaga gol akan bersaing untuk dua slot. Ia bakal menyaksikan persaingan dalam semua tempat," katanya.

Advertisement

Must Watch Video