Skip to main content

Sukan Lain

Umur bukan penghalang -- Shaharuddin

260417karate.jpg
Jaguh karate-do negara, Shaharuddin Jamaluddin, dipanggil menyertai semula kem latihan kebangsaan untuk Sukan SEA Kuala Lumpur selepas empat tahun meninggalkan sukan itu kerana mengalami kecederaan bahu.

Pengalaman Shaharuddin ditagih bagi membantu skuad karate-do negara memburu 16 pingat emas yang dipertandingkan dalam temasya itu.

Walaupun sudah menjangkau usia 29 tahun, dia masih lagi antara atlet terbaik negara untuk kategori 67kg.

Sehubungan itu, dia diminta menyertai sesi latihan skuad pelapis untuk mendapatkan semula sentuhan selepas empat tahun meninggalkan arena antarabangsa.

"Boleh dikatakan ia satu cabaran untuk saya kerana ramai atlet muda bersaing. Bagaimanapun, saya tidak jadikan umur sebagai alasan walaupun tahun depan usia saya genap 30 tahun. Ia tidak menjadi halangan," katanya.

Shaharuddin memiliki reputasi hebat di pentas Asia Tenggara dengan meraih gangsa Sukan SEA 2007 dan 2009 dan emas pada 2011, sebelum ditimpa kecederaan bahu pada 2013.

Cabaran utama Shaharuddin ialah untuk membuktikan dia masih relevan di pentas antarabangsa bermula dengan ujian sulung, Terbuka Malaysia, di ibu kota, bermula esok.

"Buat masa ini, saya tidak fikir tentang kejohanan antarabangsa tetapi saya akan bertanding dalam Terbuka Malaysia. Ya, walaupun itu peringkat antarabangsa juga tetapi saya tidak letak sasaran untuk menang pingat. 

"Saya cuma sasarkan untuk membuat persembahan terbaik," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video